APRILIA Intai Khidmat Fabio Quartararo?
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/18/20241 min read
APRILIA dikatakan memiliki hasrat untuk mendapatkan bintang MotoGP Yamaha, Fabio Quartararo yang kontraknya bersama pengeluar Jepun itu berakhir pada penghujung musim ini.
Memetik laporan Motosprint, pengeluar Itali itu 'berminat' untuk mendapatkan pelumba kelahiran Perancis itu andai kontraknya bersama Yamaha tidak diperbaharui.
Selain kekal di Yamaha, Aprilia mungkin menjadi satu-satunya pilihan Quartararo jika dia ingin mengubah anginnya di MotoGP.
Seperti diketahui, juara dunia MotoGP 2021 itu menjadi antara barisan pelumba yang kontrak sedia ada bersama pasukan masing-masing bakal berakhir pada penghujung musim ini.
Setakat ini, hanya segelintir pelumba sudah mengikat kontrak melebihi 2024 antaranya Francesco Bagnaia (Ducati), Brad Binder (KTM) dan Luca Marini (Honda).
KTM juga dijangka meletakkan pilihan dalam kontrak Pedro Acosta bagi mengekalkan pelumba itu bersama mereka.
Quartararo mengharungi permulaan yang kurang baik bersama Yamaha musim ini apabila menamatkan pembuka musim di Qatar di kedudukan ke-11.
Dan keputusan itu meningkatkan spekulasi mengenai masa depannya bersama Yamaha yang sedang bergelut.
Aprilia dalam pada itu bersama-sama KTM bersaing dengan Ducati di kelompok depan dikatakan turut berpeluang meraih kejuaraan.
Tetapi pasukan itu berdepan isu dari sudut barisan pelumba dan masih belum memberikan kontrak kepada mana-mana pelumbanya termasuk pelumba tertua di grid MotoGP 2024 Aleix Espargaro yang berumur 34 tahun.
Selain Espargaro, memacu pasukan itu adalah bekas rakan sepasukan Quartararo, Maverick Vinales dan dua pasukan satelit Trackhouse, Miguel Oliveira dan Raul Fernandez.
Aprilia sebelum ini dikaitkan dengan pelumba Ducati Lenovo, Enea Bastianini tetapi kehadiran Quartararo ke pengeluar itu memang sesuatu yang tidak boleh dilepaskan.