APRILIA Jangka Tiga Perlumbaan Sebelum Jorge Martin Kembali 'Menyengat'

Jorge Martin dijangka memerlukan tiga perlumbaan sebelum penyandang juara dunia MotoGP itu mampu untuk mencabar kelompok hadapan, kata bos Aprilia Racing, Massimo Rivola

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/17/20251 min read

Aprilia
Aprilia

BOS Aprilia Racing, Massimo Rivola menjangkakan Jorge Martin memerlukan tiga perlumbaan sebelum pelumba bintangnya itu mampu untuk mencabar kelompok hadapan.

Penyandang juara dunia, Martin akan membuat kepulangan semula ke pentas perlumbaan MotoGP di Grand Prix Republik Czech di Litar Brno selepas beberapa bulan berehat susulan masalah kecederaan yang dihadapinya.

“Apabila ada dua pelumba bersaing di depan, saya rasa prestasi kami akan meningkat, malah melebihi Marco, jika boleh,” katanya.

“Saya rasa Marco kini sudah benar-benar menguasai jentera, tetapi dia tidak mempunyai rujukan di hadapannya untuk dijadikan panduan.”

“Bersama Jorge, kami perlu bijak mengawal rentaknya dalam beberapa perlumbaan awal.”

“Saya rasa (Martin) perlukan sekurang-kurangnya tiga perlumbaan untuk benar-benar berada dalam prestasi terbaik. Selepas itu saya jangka dia akan bersama Marco di depan, dan kita akan lihat apa yang bakal terjadi.

"Tapi saya yakin separuh kedua musim bagi Aprilia akan jadi sangat menarik.”

Dalam pada itu, Rivola menegaskan tiada istilah pelumba pertama atau kedua dalam pasukan itu dengan kepulangan semula Martin ketika seorang lagi pelumbanya, Marco Bezzecchi tampil dengan prestasi cukup memberangsangkan.

Bezzecchi yang juga pemenang GP British dan turut menaiki podium di Sachsenring, minggu lalu adalah pelumba bukan Ducati terbaik dalam carta kedudukan pelumba setakat ini.

"Marco jelas adalah rujukan," kata Rivola kepada Sky Italia. "Tidak ada istilah yang pertama atau kedua. Ia bercakap menggunakan catatan masa dan kedudukan ranking. Jadi saya tidak gemar berbicara tentang pelumba utama atau kedua.

“Jelas Jorge akan berdepan lebih banyak kesukaran pada awalnya kerana kekurangan pengalaman. Saya berharap dia dapat mengejar Marco secepat mungkin, kerana apabila mereka berada pada tahap yang sama, mereka akan saling mendorong ke hadapan.

“Sehingga hari ini Marco bersendirian. (Pelumba ujian) Lorenzo Savadori sudah melakukan kerja yang cemerlang tetapi saya tidak sabar untuk melihat mereka berdua berada mereka berdua berada dekat bersama kami, kerana kami terus membangunkan jentera ini tanpa henti."