APRILIA Kembalikan Minat Saya Berlumba - Maverick Vinales
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
1/3/20251 min read


MAVERICK Vinales secara rasmi menyertai pasukan keempatnya di MotoGP apabila menyarung sut lumba pasukan KTM pada musim 2025.
Dianggap sebagai salah seorang pelumba berbakat yang dijangka mampu menggegar MotoGP, tetapi sebaliknya berlaku dengan kelibatnya di Yamaha tidak berjalan seperti diharapkan.
Vinales memulakan kariernya di MotoGP bersama Suzuki diikuti Yamaha dan Aprilia. Dia meninggalkan Yamaha pada pertengahan musim 2021 susulan konflik yang berlaku namun dia pantas disambar Aprilia.
Tetapi kemenangan yang dicarinya di Aprilia hanya muncul pada musim lalu di Grand Prix Amerika Syarikat dan menjadi satu-satunya pelumba yang berjaya merobek dominasi Ducati.
Begitupun, kemenangan tidak berjaya meyakinkan pelumba kelahiran Sepanyol itu untuk kekal bersama pengeluar Itali itu dan membuat kejutan dengan menyertai pasukan satelit KTM, Tech3.
Ketika ditanya mengenai perbezaan ketiga-tiga pengeluar yang pernah disertainua, pelumba berusia 29 tahun itu berkata:
"Suzuki adalah minat yang tulen, Yamaha adalah 'perniagaan' dan Aprilia adalah gabungan kedua-duanya," kata Vinales memetik laporan Motorsports.
"Tetapi Aprilia adalah jenama yang bernadikan perlumbaan dan pada aspek itu mereka memberikan saya minat yang saya ada terhadap motosikal."
Vinales dalam pada itu berkata sasarannya masih sama iaitu untuk menjulang gelaran dunia dan merasakan ia sukar dicapai jika menyertai Ducati sebagai pelumba satelit
"Apa cabaran seterusnya yang saya mahu? Bagi saya cabaran adalah untuk menjuarai gelaran dunia.
"Kini saya sudah mendapat konklusi di mana ada dua sudut. Sama ada kamu adalah pencabar atau kamu pergi ke pihak yang melawan. Sama ada kamu pergi ke KTM atau ke Ducati.
"Di Ducati amat sukar untuk menang. Bagaimana kamu ingin mengalahkan pasukan rasmi? Ia amat sulit, kamu mempunyai jentera yang sama, tetapi bukan senjata yang sama. Jadi saya hanya mempunyai satu pilihan, pergi ke KTM dan menjadi pencabar.
Tetapi ironinya, Jorge Martin berjaya menjuarai gelaran dunia musim ini bersama pasukan satelit Ducati, Pramac Racing.
