APRILIA Mahu Pelumba Lebihkan Komunikasi, Mencarut Pun Tak Apa!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/13/20251 min read

BOS Aprilia Racing, Massimo Rivola memberi amaran 'tempoh sukar' menanti pasukannya pada kempen MotoGP 2025.

Justeru, beliau menggesa barisan pelumbanya untuk meningkatkan komunikasi malah berpendapat lebih bagus untuk mencarut daripada langsung tidak berkata-kata.

Aprilia menyenaraikan dua muka baharu dalam pasukan 'kilangnya' bagi musim 2025 menerusi penyandang juara dunia Jorge Martin dan Marco Bezzecchi.

Pasukan dari Itali itu pada musim lalu menjadi satu-satunya pasukan yang berjaya memecah dominasi Ducati tetapi terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di kedudukan ketiga keseluruhan di belakang Ducati dan KTM.

Dan menerusi video yang disiarkan oleh MotoGP mengenai ujian pertama Martin dan Bezzecchi pada November lalu, ia turut menayangkan kata-kata keras daripada Rivola kepada pelumbanya.

"Pasti akan ada tempoh yang sukar, dan sesetengahnya mungkin lebih sukar," kata Rivola. Resipi untuk mengatasi tempoh ini sebenarnya agak mudah, iaitu bercakap mengenai segala-galanya.

"Bagaimana perkara itu berlaku? Kadang kala, kamu perlu menyatakan sesuatu perkara dengan berbeza kepada orang lain. Dan kadang kala kamu juga bercakap sesama kamu untuk... (mencarut).

"Ia tidak mengapa. Ia akan menjadi lebih mudah untuk kamu dengan kesemua desakan adrenalin ini.

"Pendekatan kami adalah untuk memberikan keadaan yang terbaik kepada anda berdua (Martin, Bezzecchi), kemampuan kami yang terbaik, tanpa bermain sebarang permainan atau tipu helah."

Selain pelumba baharu, Aprilia turut memulakan kempen 2025 dengan Pengarah Teknikal baharu menerusi Fabiano Sterlacchini yang sebelum ini pernah bekerja bersama KTM dan Ducati.