APRILIA Minta Maaf, Ia Tak Betul, Tapi Dah 'Setel' - Davide Tardozzi
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/28/20241 min read


BOS Ducati Lenovo, Davide Tardozzi menjelaskan insiden membabitkan seorang krew Aprilia melakukan imbasan 3D terhadap jentera Ducati VR46 di Red Bull Ring sudah selesai namun berharap individu berkenaan dipecat.
Ketika sesi 'pit walk' di Red Bull Ring, seorang krew Aprilia dirakam sedang melakukan imbasan 3D terhadap jentera Ducati GP23 miliki Marco Bezzecchi menggunakan iPad.
Begitupun menurut Tardozzi, yang kemudian melakukan konfrontasi terhadap lelaki berkenaan dan videonya turut tular, lelaki berkenaan bukan saja melakukan perkara sama kepada jentera VR46, namun Yamaha M1 dan jentera milik Pramac Ducati.
Tardozzi kemudian memanggil Pengarah Teknikal Aprilia Racing, Romano Albesiano ke garajnya untuk mendapatkan penjelasan sebelum mendedahkan perinciannya kepada Speedweek.
"Ia bukan hanya membabitkan jentera Ducati VR46. Lelaki ini turut mengimbas jentera Yamaha dan Pramac. Ada orang yang melihat dia melakukan perkara sama di depan garaj VR46 dan merekodnya," kata Tardozzi.
"Dia mengelilingi jentera dengan iPad, kadang kala dalam jarak 10 sentimeter daripada jentera, dan di depan semua orang.
"Dia melakukannya tanpa memberitahu bosnya. Di Aprilia, mereka berkata mereka tidak mengetahui apa-apa mengenainya. Kami juga mempunyai video dia mengimbas Yamaha M1.
"Tiada keraguan mengenai apa yang dilakukan krew itu. Salah seorang daripada staf kami (Ducati) berada di belakangnya, jadi kami mempunyai video skrin iPad miliknya, dan kerana itu kami tahu dia mengimbas jentera dengan program yang spesifik.
"Romano Albesiano juga tak tahu mengenai inisiatif lelaki itu. Saya berharap mereka memecatnya. Pengurusan tertinggi juga tidak mengetahuinya. Romano juga amat marah.
"Dia (Romano) tidak sebodoh itu untuk menghantar seseorag dengan baju T Aprilia melakukan imbasan. Ia jelas bukan idea yang hebat. Saya tidak mengenali lelaki itu. Saya tidak pernah melihatnya sebelum ini.
"Mungkin dia dari jabatan aerodinamik. Dia mungkin mahu menjadi bijak, tetapi dia mungkin paling bodoh di antara mereka semua! Saya memberitahunya yang dia melakukan perkara yang tidak dibenarkan.
"Dia langsung tidak berkata apa-apa, langsung tidak menunjukkan sebarang emosi. Bagi saya, perkara ini sudah selesai. Aprilia meminta maaf, tetapi ia tidak betul."
