APRILIA Nafi Dakwaan Babit 'Kontrak' Jorge Martin

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/22/20251 min read

APRILIA Racing mengeluarkan kenyataan rasmi pertama berhubung laporan yang mendakwa pelumba bintangnya, Jorge Martin ingin menamatkan kontraknya bersama pasukan itu pada musim 2026.

Malah, pengeluar Itali itu menegaskan tiada perbincangan mengenai perkara itu berlaku.

Aprilia 'bergegar' selepas Grand Prix (GP) Perancis 2025 selepas laporan motorsport.com mendakwa penyandang juara dunia yang sedang berdepan kecederaan itu sedang mencari jalan keluar untuk meninggalkan pasukan itu pada penghujung musim ini.

Martin dilaporkan sedang mencari jalan menggunakan klausa dalam kontraknya membabitkan tahap kompetitif jentera Aprilia RS-GP yang didakwa tidak begitu meyakinkan di sebalik baru beberapa kali menunggang jentera itu tahun ini.

Pelumba kelahiran Sepanyol itu hanya berlumba pada satu pusingan pada musim ini di GP Qatar dan dijangka hanya akan kembali berlumba pada penghujung Julai di GP Jerman.

Sebahagian daripada laporan itu mendakwa bahawa Martin sudah ditawarkan lanjutan tarikh akhir klausa prestasi kepada September, manakala terdapat spekulasi dia sedang mempertimbangkan untuk berpindah ke Honda.

Aprilia akhirnya mengeluarkan kenyataan rasmi pertamanya mengenai kemelut itu menjelang GP British dan menafikan laporan berkenaan serta menegaskan kontrak yang itu mesti dihormati oleh kedua-dua pihak.

"Kontrak antara Aprilia Racing dan Jorge Martin adalah sah dan sedang berjalan, dan oleh itu, ia mesti dihormati oleh kedua-dua pihak sehingga tempohnya tamat (akhir 2026)," kata Aprilia.

"Aprilia Racing sudah mematuhi kontrak dengan sepenuhnya, mengikut garis masa dan syarat yang sudah dipersetujui, dan akan terus berbuat demikian pada masa akan datang.

"Aprilia Racing menafikan bahawa sebarang rundingan sudah berlaku antara pihak-pihak terbabit untuk mengubah tempoh kontrak, yang kekal seperti yang dipersetujui pada asalnya.

"Pasukan ini tidak mempunyai komen mengenai perkara yang tidak berkaitan secara langsung dengannya tetapi mengharapkan pasukan lain untuk tidak membuat sebarang tawaran kepada pelumba yang sedang berada di bawah kontrak.

"Tingkah laku sebegini dalam apa jua keadaan adalah tidak sah.

"Seluruh pasukan akan terus menyokong Jorge sepanjang proses pemulihannya, seperti yang sentiasa dilakukan, dan berharap untuk melihatnya kembali berlumba dengan RS-GP."

Martin masih belum memberikan kenyataan mengenai perkara ini.