APRILIA Perkenalkan Aprilia RSV4 Factory, Tuono V4 Factory SE-09 SBK (2024) Di COTA

TERKINI

4/16/20241 min read

APRILIA mengambil peluang untuk memperkenalkan dua penawaran baharu dalam segmen aras tinggi jenama itu, Aprilia RSV4 Factory dan Tuono V4 Factory SE-09 SBK (2024) dan menariknya, sempena Pusingan 3 Kejuaraan Motosikal Dunia di Austin, Texas Amerika Syarikat.

Apa yang lebih mengujakan, tindakan pengeluar Itali itu tampak cukup tepat susulan prestasi yang ditampilkan pasukan itu di COTA (Circuit of the America) yang menyaksikan Aprilia menyapu bersih kedua-dua perlumbaan MotoGP yang ditawarkan.

Sebagai info, Aprilia memenangi kedua-dua perlumbaan - Sprint dan MotoGP - menerusi pelumbanya Maverick Vinales yang turut hadir merasmikan Aprilia RSV4 Factory dan Tuono V4 Factory SE-09 SBK (2024).

Menurut Aprilia, Sebagai model istimewa, Aprilia RSV4 Factory dan Tuono V4 Factory SE-09 SBK (2024) dihasilkan sebagai penghargaan kepada kejuaraan dunia pertama legenda Itali, Max Biaggi dalam saingan Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK).

Sebagai model istimewa, Aprilia RSV4 Factory dan Tuono V4 Factory SE-09 SBK (2024) dipadankan dengan warna 'Racing' Aprilia iaitu Hitam dan Merah yang 'disulam' dengan warna Putih.

Dan seperti boleh dijangka, skema warnanya mirip seperti jentera yang digunakan Biaggi pada 2010 di pentas WorldSBK.

Di bahagian trenkuasa, kedua-dua model dipadankan dengan enjin bersesaran 1,099 cc, V4 yang menghasilkan kuasa 217 Hp pada 13,000 rpm dan tork 125 Nm pada 10,500 rpm.

Tiba sebagai model edisi istimewa, Aprilia RSV4 Factory dan Tuono V4 Factory SE-09 SBK (2024) dipadankan dengan pelbagai komponen dan sistem elektronik berprestasi.

Antara komponen yang menggunakan gentian karbon adalah di bahagian corong angin brek depan dan 'mudguard' depan.

Untuk harga, Aprilia RSV4 Factory SE-09 SBK (2024) diumumkan pada angka EUR 26,499 (RM 134,783) manakala Aprilia Tuono V4 Factory SE-09 SBK (2024) ditawarkan pada harga EUR 20,499 (RM 104,265).