APRILIA Racing Dedah Liveri Musim 2026

Pasukan utama Aprilia Racing menjadi pasukan ketiga memperkenalkan rekaan seragam baharu untuk musim MotoGP 2026 dengan pelancaran rasmi berlangsung di studio Sky Sports, Milan, Itali

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/15/20261 min read

PASUKAN 'kilang' Aprilia Racing menjadi pasukan ketiga memperkenalkan rekaan seragam baharu untuk musim MotoGP 2026 dengan pelancaran rasmi berlangsung di studio Sky Sports, Milan, Itali.

Pengeluar berpangkalan di Noale itu tampil penuh keyakinan selepas mencatat musim terbaiknya pada tahun lalu, yang menyaksikan mereka meraih empat kemenangan Grand Prix dan menamatkan saingan di tempat kedua dalam kedudukan pengeluar.

Marco Bezzecchi, yang menyertai Aprilia dari VR46 Ducati, menjadi tonggak utama pasukan sepanjang musim 2025 selepas rakan sepasukan Jorge Martin bergelut dengan kecederaan. Bezzecchi menutup musim dengan tiga kemenangan dan kedudukan ketiga keseluruhan.

Martin, juara dunia 2024 yang menjadi nama besar yang dibawa masuk Aprilia selepas Ducati menarik balik keputusan untuk menaikkan pangkatnya ke pasukan kilang namun kempen 2025 menyaksikan pelumba Sepanyol itu dipalit masalah kecederaan berulang.

Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia, Massimo Rivola menegaskan keyakinan terhadap jentera RS-GP26 serta barisan pelumba mereka.

"Kami datang daripada musim 2025 yang baik dan mencapai tahap daya saing tinggi. Sasaran kini adalah untuk bersaing di setiap perlumbaan. Kami percaya Aprilia RS-GP26 mempunyai potensi besar, begitu juga dengan pelumba kami,” katanya.

Martin, yang menggunakan nombor 1 pada musim lalu, kembali menggunakan nombor asalnya, 89, untuk musim 2026.

Sebagai rekod, Aprilia menjadi pasukan ketiga memperkenalkan liveri baharu selepas Pramac Yamaha dan VR46 Ducati.