APRILIA Racing MotoGP Pamer 'Liveri' Jentera 2024, Lebih 'Ramping'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/19/20241 min read

APRILIA Racing menjadikan Qatar sebagai destinasi untuk menayangkan 'Liveri' dan jentera pasukan itu bagi musim 2024 yang dipacu dua pelumba berpengalaman, Aleix Espargaro dan Maverick Vinales.

Seperti dapat dilihat, jentera bagi musim ini mengalami perubahan agak besar dari sudut penampilan dengan 'Liveri' yang hampir sama menerusi penggunaan warna hitam yang dominan, merah, putih dan juga unggu.

Dan seperti tahun lalu, Aprilia Racing masih kekal tanpa penaja utama dengan jentera yang digunakan, RS-GP 2024 mengalami perubahan agak besar.

Tidak seperti musim lalu, antara perubahan yang dapat dilihat adalah ia kini sedikit 'ramping' dengan penggunaan komponen aerodinamik yang serba baharu.

Begitupun menurut Aprilia, jentera kali ini turut menggunakan kerangka, casis, lengan ayun dan sistem elektronik yang baharu.

Aprilia pada musim lalu dijangka mampu mencabar penguasaan Ducati tetapi ia tidak berlaku seperti diharapkan dengan Espargaro menamatkan saingan di tangga keenam sekalipun meraih dua kemenangan dalam perlumbaan utama dan satu Sprint.

Vinales dalam pada itu mengakhiri kempen di tangga ketujuh selepas meraih tiga kedudukan naib juara namun terus gagal menamatkan kemarau kemenangan yang kali terakhir dicapai pada 2021 bersama Yamaha.

Ketika ujian pra-musim MotoGP 2024 di Sepang sebelum ini, Espargaro tampak selesa dengan RS-GP 2024 selepas melakukan catatan ke-5 terbaik namun Vinales sedikit bergelut dengan menamatkan ujian di tangga ke-12 terbaik.

Musim ini, Aprilia membariskan tiga jentera 'Factory' RS-GP 2024 di grid termasuk yang digunakan pelumba pasukan satelit, Miguel Oliveira dari pasukan Trackhouse.

Selepas Aprilia, pasukan seterusnya dijadual menayangkan 'Liveri' dan jentera bagi kempen 2024 adalah pasukan Pramac Ducati.

Pasukan yang dipacu naib juara MotoGP musim lalu itu meletakkan 28 Februari sebagai tarikh pendedahan berkenaan.