APRILIA RS 440 Diintip Jalani Ujian, Pelancaran Katanya Tahun Ini, Malaysia Ada 'Can'?
7/7/20231 min read
BUKAN satu rahsia atau baharu jenama motosikal Itali, Aprilia sedang membangunkan sebuah 'Sportbike' yang diposisikan dalam segmen 'marhaen'. Laporan mengenainya sudah pun timbul sejak beberapa bulan lalu di India.
Tetapi baru-baru ini, imej mengenai motosikal itu sedang menjalani ujian sekali lagi tular namun kali ini katanya di Eropah.
Jika diperhatikan, Aprilia RS 440 memang nampak mengikuti 'lenggok' rekaan 'abangnya' yang lebih berkuasa iaitu Aprilia RS 660.
Tetapi sedikit kelakar, Aprilia dilihat cuba untuk mengelirukan orang awal apabila meletakkan pelekat Aprilia RS 660 di bahagian fairing motosikal ujian berkenaan.
Andai dilihat sekali imbas, memang boleh membuatkan orang terpedaya namun helah itu jelas tidak menjadi dan kantoi berikutan model yang sedang menjalani ujian itu nampak sedikit kecil dan paling ketara, tidak menggunakan sistem brek cekera berkembar di roda depan seperti Aprilia RS 660.
Tidak dapat dibicarakan mengenai trenkuasanya, tetapi dari sudut luaran, Aprilia RS 440 menggunakan fork jenis terbalik (USD) yang berkamungkinan datang dengan ciri pelarasan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran dan mungkin Kawalan Traksi.
Dan jangan terkejut, Aprilia mungkin juga menggunakan sistem 'Ride by wire' dan teknologi bantuan tunggangan seperti Kawalan Wheelie dan sebagainya.
Apa yang lebih menarik, model yang dijangka akan mencabar populariti dalam segmen sama seperti KTM RC 390 dan Kawasaki Ninja 400 itu nampak seperti sudah 'lengkap' dan hanya menunggu pengesahan daripada pihak berwajib.
Menurut laporan media antarabangsa, Aprilia RS 440 berkemungkinan akan ditayangkan pada September ini ketika Grand Prix India 2023 namun di Eropah, ia mungkin membuat kemunculan ketika acara berprestij, EICMA 2023 pada November.
Seperti biasa, tiada kenyataan rasmi daripada Aprilia Malaysia membabitkan Aprilia RS 440 tetapi melihat kepada pendekatan perniagaan mereka ketika ini, ia boleh dikatakan 'hampir pasti' bakal tiba. Sama-sama kita tunggu.
Sumber imej: RideApart