APRILIA RS 457 (2024) Buat Kemunculan Rasmi Di Misano, Maverick Vinales Jadi Duta

TERKINI

9/8/20231 min read

APRILIA mengakhiri penantian selain teka-teki membabitkan jentera 'Sportbike' terbaharunya, Aprilia RS 457 (2024) dan dilancarkan secara rasmi sempena Grand Prix San Marino 2023.

Dari sudut rekaan, tidak dapat dinafikan Aprilia RS 457 (2024) sememangnya dibangunkan dengan 'raut' keluarga RS yang diminati seantero dunia dan paling mengujakan, kacak.

Dilancarkan di San Marino dengan pelumba MotoGP Aprilia, Maverick Vinales sebagai dutanya, Aprilia seperti ingin memberi petunjuk bahawa motosikal ini turut dibangunkan berasaskan teknologi perlumbaan.

Selain itu, Aprilia RS 457 (2024) turut 'menyedut' teknologi yang digunakan 'abang' besar Aprilia RS 660, seperti penggunaan ‘Load-bearing crankcase’ selain ringan menerusi penggunaan kerangka aluminium.

Di bahagian trenkuasa, Aprilia RS 457 (2024) dijana enjin 457 cc, Parallel-twin 4, 8 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Angka kuasa yang didedahkan setakat ini adalah 47 Hp.

Sebagai motosikal moden dan boleh 'dilenjan' di litar, pakej elektronik yang dibekalkan kepada Aprilia RS 457 (2024) juga mengagumkan menerusi teknologi 'Ride-by-wire'.

Justeru, ia datang dengan sistem bantuan tunggangan elektronik termasuk Kawalan Traksi (3 tetapan dan boleh dinyahaktif sepenuhnya) selain tiga mod tunggangan bersama tetapan tersendiri.

Ciri-ciri menarik dan informasi penting lain jentera yang dibangunkan di Noale, Itali itu termasuklah seperti penggunaan sistem lampu LED penuh termasuk lampu siang (DRL), panel meter TFT 5 inci serta berat 'kerb' 158 kg.

Di bahagian suspensi, motosikal ini menggunakan fork jenis terbalik (USD) 41 mm (depan) dan penyerap hentak tunggal (belakang) bersama lengan ayun jenis keluli dengan jarak 'travel' 130 mm.

Sistem brek menggunakan cakera tunggal (depan dan belakang) dengan cakera depan bersaiz 320 mm, kaliper ByBre 4 Piston dan cakera 220 mm di belakang lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Selain itu, Aprilia turut menawarkan sistem 'Quickshifter’ (atas/bawah) kepada Aprilia RS 457 (2024) tetapi sedikit menyedihkan, bukan standard namun pilihan.

Aprilia masih belum mengumumkan harga rasmi bagi Aprilia RS 457 (2024) dan menariknya, motosikal ini memang menjadi sasaran Aprilia Malaysia untuk dibawa masuk ke pasaran tempatan.