APRILIA RS 457 (2024) Lancar Di India, RM 23k, Malaysia Dijadual Tahun Depan!
TERKINI
12/13/20232 min read
SEPERTI dijangka, Piaggio India yang merupakan syarikat induk kepada Aprilia melancarkan model 'Sportbike' aras tengah berprestasi Aprilia RS 457 (2024) di pasaran negara berkenaan.
Pelancaran model berkenaan dibuat sempena India Bike Week 2023, harga yang diumumkan adalah Rs 4.10 lakh (RM 23,021) dengan tempahan rasmi akan dibuka bermula 15 Disember ini.
Kepada yang tertanya-tanya mengapa India menjadi destinasi terawal motosikal berkenaan, ia berikutan Aprilia RS 457 (2024) adalah motosikal yang dihasilkan di kilang Piaggio di Baramati, India.
Dan kilang berkenaan turut bertanggungjawab terhadap model eksport dan berkemungkinan besar termasuk untuk pasaran luar termasuk Malaysia.
Sekalipun dipasang di India, Aprilia RS 457 (2024) dikatakan produk yang direka dan dibangunkan di Itali.
Dijadual bersaing dengan beberapa model antaranya Yamaha R3, KTM RC 390 dan Kawasaki Ninja 400, antara 'kekuatan' Aprilia RS 457 (2024) adalah rekaannya yang 'kacak' mirip saudaranya Aprilia RS 660.
Turut dibangunkan berasaskan teknologi perlumbaan, trenkuasa Aprilia RS 457 (2024) dijana enjin 457 cc, Parallel-twin 4, 8 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual dengan angka kuasa sebesar 47 Hp.
Sebagai motosikal moden dan boleh 'dilenjan' di litar, pelbagai pakej elektronik yang dibekalkan kepada Aprilia RS 457 (2024) menerusi teknologi 'Ride-by-wire'.
Sistem bantuan tunggangan elektronik yang tersedia termasuk Kawalan Traksi (3 tetapan dan boleh dinyahaktif sepenuhnya) selain tiga mod tunggangan bersama tetapan tersendiri.
Ciri-ciri menarik dan informasi penting lain jentera yang dibangunkan di Noale, Itali itu termasuklah seperti penggunaan sistem lampu LED penuh termasuk lampu siang (DRL), panel meter TFT 5 inci serta berat 'kerb' 158 kg.
Di bahagian suspensi, motosikal ini menggunakan fork jenis terbalik (USD) 41 mm (depan) dan penyerap hentak tunggal (belakang) bersama lengan ayun jenis keluli dengan jarak 'travel' 130 mm.
Sistem brek menggunakan cakera tunggal (depan dan belakang) dengan cakera depan bersaiz 320 mm, kaliper ByBre 4 Piston dan cakera 220 mm di belakang lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.
Selain itu, Aprilia turut menawarkan sistem 'Quickshifter’ (atas/bawah) kepada Aprilia RS 457 (2024) tetapi sedikit menyedihkan, bukan standard namun pilihan.
Seperti pernah dinyatakan oleh MotoDotMy.com sebelum ini, Piaggio Malaysia memang menjadikan Aprilia RS 457 (2024) keutamaan dan kehadiran motosikal berkenaan berkemungkinan berlaku pada suku kedua tahun depan.