APRILIA RS-GP20 Milik Aleix Espargaro Masuk Bidaan Lelongan Di UK!
Aleix Espargaro, yang pernah meraih tiga kemenangan MotoGP sepanjang kariernya, akan menawarkan jentera Aprilia RS-GP20 miliknya ketika acara 'The Iconic Sale at Race Retro 2026' anjuran Iconic Auctioneers
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/26/20251 min read


BEKAS pelumba MotoGP Aprilia Racing yang kini bergelar pelumba ujian Honda Racing Corporation (HRC), Aleix Espargaro dilaporkan melelong jentera lumba MotoGP Aprilia yang digunakan pada musim 2020, Aprilia RS-GP20 pada acara lelongan berprestij di United Kingdom, Februari depan.
Espargaro, yang pernah meraih tiga kemenangan MotoGP sepanjang kariernya, akan menawarkan jentera RS-GP20 miliknya ketika acara 'The Iconic Sale at Race Retro 2026' anjuran Iconic Auctioneers.
Aprilia RS-GP20 itu diberikan kepada Espargaro oleh Aprilia pada tahun 2022 sebagai hadiah oleh Aprilia dan sejak itu ia kekal dalam koleksi peribadinya.
Dan apa yang menarik, menurut penganjur spesifikasi jentera itu masih dalam keadaan asal lengkap ekzos Akrapovic, suspensi Ohlins khas, angkup brek Brembo dengan cakera karbon, serta panel badan dengan gentian karbon penuh.
Meningkatkan lagi keterujaan, terutama buat peminat pelumba itu atau Aprilia, selain motosikal, Espargaro turut menyertakan topi keledar, sut perlumbaan, but dan sarung tangan yang digunakan pada musim 2020.
Sebagai rekod, Espargaro mula menyertai Aprilia pada 2017 selepas dua musim sukar bersama Suzuki dan bergandingan dengan pelumba Britain, Bradley Smith.
Meskipun berdepan cabaran, palumba asal Sepanyol itu dianggap memainkan peranan penting dalam membantu Aprilia mencari hala tuju pembangunan RS-GP.
Sejak pelancaran awal RS-GP pada 2015, Aprilia bergelut untuk bersaing tetapi usaha berterusan akhirnya membuahkan hasil apabila jentera itu muncul sebagai pencabar konsisten bermula musim 2022.
Espargaro bersara daripada perlumbaan MotoGP secara sepenuh masa pada penghujung 2024 sebelum menyertai HRC.

