APRILIA RS-GP26 Sudah 80,90 Peratus Siap Menuju Buriram
Selain Marco Bezzecchi, bos Aprilia Racing Massimo Rivola turut memuji input daripada pelumba pasukan satelit Trackhouse Aprilia iaitu Raul Fernandez dan Ai Ogura di Sepang, terutama ketika ketiadaan Jorge Martin yang masih dalam proses pemulihan
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/15/20261 min read


APRILIA Racing mengesahkan pakej jentera Aprilia RS-GP26 yang akan digunakan untuk menghadapi kempen pada musim ini yang menyaksikan Marco Bezzecchi mencatat masa kedua terpantas keseluruhan pada ujian pra musim di Litar Antarabangsa Sepang sudah hampir dimuktamadkan.
Bos Aprilia Racing, Massimo Rivola menjelaskan sekitar 80 hingga 90 peratus spesifikasi sudah ditetapkan, namun beberapa perincian kecil akan dibawa ke Thailand untuk penambahbaikan terakhir.
“Saya fikir 80-90% pakej sudah tetap. Tetapi selepas kami analisis semua data di Itali, beberapa butiran kecil akan dibawa ke Thailand untuk pembangunan terakhir,” kata Rivola.
Kata Rivola, Litar Buriram mempunyai karakter berbeza berbanding Sepang, dengan lebih banyak ciri ‘stop-and-go’ serta faktor aerodinamik yang unik.
Justeru, ujian terakhir di sana dijangka memberi peluang untuk menyempurnakan pakej RS-GP sebelum musim baharu bermula.
Rivola dalam pada itu menekankan kepentingan input daripada pelumba pasukan satelit Trackhouse Aprilia iaitu Raul Fernandez dan Ai Ogura, terutama ketika ketiadaan Jorge Martin yang masih dalam proses pemulihan selepas pembedahan.
“Menariknya, walaupun cara penjelasan mereka berbeza, akhirnya komen yang diberikan hampir sama. Itu sangat membantu,” katanya.
Rivola turut memuji tahap prestasi kedua-dua pelumba itu dan menyifatkan Ogura bukan lagi dianggap ‘rookie’ manakala Fernandez sudah bersedia untuk memberikan keputusan memberangsangkan.
Sebagai rekod, Martin telah mendapat kebenaran perubatan untuk melakukan perjalanan ke Buriram, namun masih perlu melepasi pemeriksaan perubatan rasmi MotoGP sebelum dibenarkan turun ke trek pada ujian terakhir.

