APRILIA Malaysia akhirnya mengumumkan tarikh kehadiran motosikal 'Sportbike' yang kelibatnya antara dinantikan, Aprilia RS457 (2024) iaitu pada 11 Oktober ini.
Seperti diketahui, Aprilia RS457 (2024) adalah model serba baharu keluaran jenama Itali itu yang membuat debut global pada tahun lalu.
Seperti pernah dilaporkan oleh MotoDotMy.com sebelum ini, pihak Aprilia Malaysia menerusi Didi Group sebagai pengedar rasmi dijangka bakal membuat kejutan menerusi kehadiran Aprilia RS457 (2024).
Dan kejutan itu pastinya membabitkan harga jualan yang bakal diumumkan.
Menurut sumber, Aprilia Malaysia merancang untuk menjual motosikal berkenaan pada tanda harga bawah RM 30k untuk menjadikannya kompetitif di pasaran.
Selain itu, kesemua warna yang ditawarkan di pasaran antarabangsa iaitu Prismatic Dark, Racing Stripes dan Opalescent Light akan turut dijual.
Sudah dilancarkan di pasaran negara jiran Filipina, harga yang ditawarkan di negara berkenaan untuk Aprilia RS457 (2024) cukup menarik iaitu ₱ 348,000 (RM 26,022).
Sebagai perbandingan lain, di India, harga jualan yang diperkenalkan jauh lebih mengujakan iaitu Rs. 4,10,000 (RM 20,607) manakala di United Kingdom, harga jualannya adalah £ 6,500 (RM 35,952).
Sedikit info mengenai Aprilia RS457, ia dilancarkan di Misano ketika Grand Prix Misano 2023 dan seperti namanya memiliki abjad 'RS', ia tampil sebagai model berprestasi dan dibangunkan berasaskan teknologi perlumbaan.
Dari sudut rekaan, ia memang cukup mirip model-model dalam keluarga RS yang sememangnya diminati seantero dunia dan paling penting, kacak.
Lebih daripada itu, Aprilia RS 457 (2024) turut 'menyedut' teknologi yang digunakan 'abang' besar Aprilia RS 660, seperti penggunaan ‘Load-bearing crankcase’ selain ringan menerusi penggunaan kerangka aluminium.
Di bahagian trenkuasa, Aprilia RS457 (2024) dijana enjin 457 cc, Parallel-twin 4, 8 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual dengan angka kuasa yang didedahkan setakat ini adalah 47 Hp.
Sebagai motosikal moden dan boleh 'dilenjan' di litar, pakej elektronik yang dibekalkan kepada Aprilia RS 457 (2024) juga mengagumkan menerusi teknologi 'Ride-by-wire'.
Antara ciri bantuan tunggangan elektronik yang dipadankan termasuklah Kawalan Traksi (3 tetapan dan boleh dinyahaktif sepenuhnya) selain tiga mod tunggangan bersama tetapan tersendiri.
Tampil bersaing dengan model seperti KTM RC 390 and Kawasaki Ninja ZX-4RR, antara ciri-ciri menarik lain yang dibekalkan termasuklah penggunaan panel meter TFT berwarna lengkap dengan sambungan ke telefon bimbit.