APRILIA RS457 (2024) Lancar Di Malaysia, Harga Mula RM 33.9k!

PELANCARAN

10/30/20242 min read

APRILIA Malaysia melancarkan salah satu model yang dinanti-nantikan kelibatnya di Malaysia - Aprilia RS457 (2024), hari ini bersama harga pengenalan menarik RM 33,900 (asas).

Apa yang mengujakan, pelancaran motosikal 'Sportbike' berkenaan yang berlangsung penuh meriah di MotoPlex Petaling Jaya turut dihadiri pelumba ujian Aprilia Racing di MotoGP, Lorenzo Savadori.

Sebagai info, Aprilia RS457 membuat debut global pada September tahun lalu ketika Grand Prix Misano dan dilancarkan pelumba MotoGP Aprilia Racing, Aleix Espargaro dan Maverick Vinales.

Secara keseluruhan, tiga pilihan warna ditawarkan untuk pasaran Malaysia bersama harga berbeza.

Perincian adalah seperti berikut:

  • Racing Stripes: RM 35,900

  • Prismatic Dark: RM 33,900

  • Opalescent Light: RM 33,900

Dijadual untuk dilancar lebih awal, beberapa masalah yang timbul menyaksikan Aprilia menunda tarikh berkenaan.

Dan lebih istimewa buat peminatnya di Malaysia, 50 pembeli terawal memperoleh peluang untuk mendapatkan sistem 'Quickshifter' pada harga promosi iaitu RM 399.

Sebagai model yang mengambil nama 'RS' yang sinonim dengan prestasi, Aprilia RS457 (2024) adalah model yang dibangunkan berasaskan teknologi perlumbaan MotoGP pengeluar Itali itu.

Apa yang menarik, berpandukan rekaannya, ia sememangnya cukup mirip model-model dalam keluarga RS yang sememangnya diminati seantero dunia seperti Aprilia RS660 dan Aprilia RSV4 yang kacak.

Lebih daripada itu, Aprilia RS 457 (2024) turut 'menyedut' teknologi yang digunakan 'abang besarnya' Aprilia RS 660, seperti penggunaan ‘Load-bearing crankcase’ selain ringan menerusi penggunaan kerangka aluminium.

Di bahagian trenkuasa, Aprilia RS457 (2024) dijana enjin 457 cc, Parallel-twin 4, 8 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual dengan angka kuasa yang didedahkan setakat ini adalah 47 Hp.

Sebagai motosikal moden dan boleh 'dilenjan' di litar, pakej elektronik yang dibekalkan kepada Aprilia RS 457 (2024) juga mengagumkan menerusi teknologi 'Ride-by-wire'.

Antara ciri bantuan tunggangan elektronik yang dipadankan termasuklah Kawalan Traksi (3 tetapan dan boleh dinyahaktif sepenuhnya) selain tiga mod tunggangan bersama tetapan tersendiri.

Di bahagian suspensi, Aprilia RS457 (2024) dipadankan dengan fork jenis terbalik (USD) 41 mm (depan) dan penyerap hentak tunggal (belakang) bersama lengan ayun jenis keluli dengan jarak 'travel' 130 mm.

Sedikit mengecewakan, sistem brek yang dipadankan adalah jenis cakera tunggal (depan dan belakang) dengan cakera depan bersaiz 320 mm dengan kaliper ByBre 4 Piston dan cakera 220 mm di belakang lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Ciri-ciri menarik lain termasuklah penggunaan panel meter TFT berwarna lengkap dengan sambungan ke telefon bimbit dan sistem lampu jenis LED penuh termasuk lampu siang (DRL).

Kepada yang berminat, Aprilia RS457 (2024) sudah berada di cawangan pengedar Aprilia Malaysia seluruh negara.