APRILIA RS457 (2024) Tiba Di Malaysia Tahun Depan, Harga 'Pengenalan' Jangka Menarik!
TERKINI
12/5/20232 min read
SELEPAS membuat debut global pada September lalu, Aprilia RS457 (2024) - model 'Sportbike' terbaharu keluaran jenama Itali itu sudah mula memasuki pasaran antarabangsa termasuk Asia.
Ketika beberapa negara antaranya India dikatakan bakal memperoleh motosikal berkenaan pada bulan ini (Disember), ada perkembangan penting membabitkan model berkenaan untuk pasaran tempatan.
Menurut sumber, Aprilia Malaysia memang tak mahu menunggu masa yang lama untuk membawa Aprilia RS457 (2024) ke pasaran tempatan.
Ini berikutan 'hype' yang dicetuskan oleh motosikal berkenaan sejak kemunculannya selain populariti Aprilia di pasaran tempatan yang kian meningkat.
Tiada pendedahan mengenai tarikh tepat motosikal berkenaan akan dilancarkan, tetapi menurut sumber ia berkemungkinan besar berlangsung pada awal suku kedua tahun depan.
Dan seperti biasa, ia akan tiba pada harga pengenalan menarik - seperti yang dilakukan kepada model Aprilia RS660 dengan sebaran tempahan bakal dibuka secara rasmi tak lama lagi.
Dilancarkan di Misano ketika Grand Prix Misano 2023, Aprilia RS 457 (2024), seperti namanya tampil sebagai model berprestasi dan dibangunkan berasaskan teknologi perlumbaan.
Dari sudut rekaan, ia memang cukup mirip model-model dalam keluarga RS yang sememangnya diminati seantero dunia dan paling penting, kacak.
Lebih daripada itu, Aprilia RS 457 (2024) turut 'menyedut' teknologi yang digunakan 'abang' besar Aprilia RS 660, seperti penggunaan ‘Load-bearing crankcase’ selain ringan menerusi penggunaan kerangka aluminium.
Di bahagian trenkuasa, Aprilia RS457 (2024) dijana enjin 457 cc, Parallel-twin 4, 8 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual dengan angka kuasa yang didedahkan setakat ini adalah 47 Hp.
Sebagai motosikal moden dan boleh 'dilenjan' di litar, pakej elektronik yang dibekalkan kepada Aprilia RS 457 (2024) juga mengagumkan menerusi teknologi 'Ride-by-wire'.
Antara ciri bantuan tunggangan elektronik yang dipadankan termasuklah Kawalan Traksi (3 tetapan dan boleh dinyahaktif sepenuhnya) selain tiga mod tunggangan bersama tetapan tersendiri.
Tampil bersaing dengan model seperti KTM RC 390 and Kawasaki Ninja ZX-4RR, antara ciri-ciri menarik lain yang dibekalkan termasuklah penggunaan panel meter TFT berwarna lengkap dengan sambungan ke telefon bimbit.
Sistem lampu pula menggunakan jenis LED penuh termasuk lampu siang (DRL) dengan berat 'kering' 158 kg.
Mengulas bahagian suspensi, motosikal ini menggunakan fork jenis terbalik (USD) 41 mm (depan) dan penyerap hentak tunggal (belakang) bersama lengan ayun jenis keluli dengan jarak 'travel' 130 mm.
Sedikit mengecewakan, sistem brek yang dipadankan adalah jenis cakera tunggal (depan dan belakang) dengan cakera depan bersaiz 320 mm dengan kaliper ByBre 4 Piston dan cakera 220 mm di belakang lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.
Aprilia turut menawarkan sistem 'Quickshifter’ (atas/bawah) kepada Aprilia RS 457 (2024) tetapi sedikit menyakitkan hati, ia bukan standard namun pilihan.