APRILIA Sambar Jorge Martin Aksi MotoGP Musim 2025

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/3/20241 min read

JORGE Martin seakan tidak lagi mampu bersabar dengan Ducati apabila sah menyertai Aprilia bagi kempen MotoGP 2025, keputusan yang menyaksikan Marc Marquez kini di petak hadapan perebutan tempat di Ducati Lenovo.

Keputusan itu diumumkan oleh Aprilia Racing dalam satu majlis ringkas, dan ia tampak mengikuti khabar angin yang satu lagi tempat di pasukan 'kilang' Ducati sudah pun diperoleh Marquez.

Martin dikatakan menandatangani kontrak perjanjian selama 'beberapa tahun' bersama Aprilia susulan perbincangan dengan bos besar Piaggio, Michele Colaninno.

Martin yang juga pelumba Pramac Ducati sebelum ini diletakkan sebagai pilihan utama Ducati Corse sebagai rakan sepasukan Francesco Bagnaia musim depan.

Begitupun, segala-galanya berubah apabila Marquez mengeluarkan kenyataan dia tidak mahu menyertai pasukan satelit 'rasmi' Ducati, Pramac Racing sekalipun disediakan jentera berstatus 'kilang'.

Dan dikatakan bimbang akan kehilangan khidmat juara dunia lapan kali itu, Ducati berkemungkinan membuat pusingan 'U'.

Martin sebelum ini sudah pun memberitahu Ducati dia tidak akan kekal di Pramac Ducati bagi musim depan dan hanya akan menyertai pasukan berstatus 'kilang'.

Kenyataan itu jelas membuka peluang kepada Aprilia yang dikatakan turut memiliki jentera yang berkemampuan untuk mencabar kejuaraan dunia ketika ini.

Tetapi tdak diketahui sama ada Martin diberitahu sendiri secara rasmi oleh Ducati yang dia tidak akan mendapat tempat di Ducati Lenovo atau tidak lagi dapat bersabar dan membuat keputusan sendiri.

Ini kerana pengumuman yang dibuat Aprilia tampak seperti terburu-buru iaitu hanya menerusi video ringkas di media sosial rasmi yang turut menampilkan Espargaro dan Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia Racing, Massimo Rivola.

Rivola dalam pada itu menyatakan Martin adalah watak penting untuk Aprilia mencapai sasaran pengeluar Itali itu.

Selepas bergelar naib juara dunia MotoGP di belakang Bagnaia musim lalu, Martin ketika ini memimpin carta kejuaraan dengan kelebihan 18 mata di depan Bagnaia.