APRILIA Sediakan 10 RS-GP25 Untuk Ujian Sepang

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/16/20251 min read

APRILIA Racing yang tahun ini dikuatkan dengan kehadiran juara dunia MotoGP 2024, Jorge Martin mendedahkan akan membawa 10 jentera Aprilia RS-GP spesifikasi terkini untuk ujian di Sepang.

Sebagai perbezaan, pasukan dari Itali itu hanya membariskan dua spesifikasi jentera ketika ujian post-musim di Barcelona, November lalu.

Perkembangan itu didedahkan sendiri Pengurus pasukan Aprilia Racing, Paolo Bonora ketika pelancaran pasukan itu.

"Ia adalah salah satu perkara utama, untuk membawa jentera spesifikasi terkini dan memahami maklum balas daripada dua pelumba baharu kami," katanya memetik laporan Crash.net.

Selain Martin, pasukan itu turut mendapatkan seorang lagi 'tenaga' baharu juga bekas pelumba Ducati, Marco Bezzecchi.

Martin dan Bezzecchi pada ujian di Barcelona mencatatkan masa ke-11 dan ke-13 terpantas menggunakan jentera Aprilia RS-GP 24 dan 25.

Tetapi untuk ujian di Sepang yang dijadual pada awal Februari ini, kesemua pelumba Aprilia termasuk pasukan satelit Trackhouse akan menggunakan jentera spesifikasi 2025.

Setiap pelumba akan dibekalkan dengan dua jentera dengan dua lagi jentera akan digunakan pelumba ujian, Lorenzo Savadori.

"Benar, ia usaha paling besar yang kami lakukan setakat ini," kata Bonora. "Jadi kami gembira, tetapi apa yang utama adalah kami mahu berterima kasih kepada seorang orang di Aprilia Racing dan kedua-dua pasukan.

Selain pelumba baharu, Aprilia turut mendapatkan khidmat Pengarah Teknikal baharu, Fabiano Sterlacchini.