APRILIA SR GT Replica, RS 660 Extrema (2023) Rasmi Di Malaysia, Harga RM 20.9k, 79.9k!

PELANCARAN

11/9/20232 min read

SEMPENA Grand Prix (GP) Malaysia 2023 yang bakal berlangsung, hujung minggu ini, Aprilia Malaysia mengambil peluang untuk melancarkan dua penawaran terbaharunya di pasaran tempatan Aprilia SR GT Replica dan Aprilia RS 660 Extrema (2023).

Lebih menarik, majlis pelancaran kedua-dua model yang diposisi dalam segmen skuter dan 'Sportbike' itu turut disertai dua pelumba pasukan Aprilia Racing di MotoGP, Aleix Espargaro dan Maverick Vinales.

Menjadi salah satu produk 'laku keras' Aprilia Malaysia, Aprilia SR GT Replica (2023) diumumkan dijual pada harga asas RM 20,900.

Tiada perubahan dari sudut spesifikasi trenkuasa atau rekaan, tetapi keistimewaan Aprilia SR GT Replica (2023) adalah membabitkan skema warna dan corak grafik.

Seperti dua individu yang merasmikannya, skema warna dan corak grafik skuter ini mengambil inspirasi daripada warna dan corak grafik asas jentera lumba Aprilia RS-GP di MotoGP.

Selain itu, perincian lain termasulah penggunaan rim berwarna hitam bersama garisan merah.

Sebagai skuter bergaya 'Urban Adventure', ia dipadankan dengan enjin bersesaran 174 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, 4 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC dengan transmisi automatik CVT.

Sementara itu, Aprilia RS 660 Extrema (2023) dijual pada harga asas RM 79,900.

Seperti namanya, Aprilia RS 660 Extrema (2023) yang membuat kemunculan di EICMA tahun lalu adalah motosikal Sportbike 600 cc paling ekstrem pernah dihasilkan jenama itu.

Selain skema warna istimewa (hitam-putih), kelainan Aprilia RS 660 Extrema (2023) bukan sekadar kemasan 'kosmetik', namun turut membabitkan beberapa komponen berprestasi antaranya penggunaan sistem ekzos SC Project dengan peredam bunyi gentian karbon.

Komponen lain yang turut digantikan dengan gentian karbon termasuklah braket ekzos, madgad depan dan kowl enjin. Selain lebih ringan, ia turut menghasilkan lebih kuasa yang menjadikannya lebih ringan berbanding RS 660 Standard.

Dan sebagai motosikal lumba berprestasi dan boleh 'disesah' di trek, ia tidak mempunyai pelana untuk pembonceng.

Mengulas ringkas trenkuasa, motosikal ini dijana enjin bersesaran 659 cc, 2 Silinder, 8 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Sentikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi 6 kelaj

Lengkap dengan pelbagai sistem kawalan elektronik canggih, kuasa yang dihamburkan adalah 100 Hp pada 10,500 rpm dan tork 67 Nm pada 8,500 rpm.

Menurut Aprilia Malaysia, tiada peruntukan khas membabitkan unit tersedia untuk kedua-dua model ini tetapi ia bergantung kepada stok yang diperoleh untuk pasaran Malaysia.

Sebagai info, Aprilia Malaysia bernaung di bawah Didi Group sebagai pengedar tunggal dan pengimport rasmi Aprilia di Malaysia.