APRILIA Sudah Tiba, Ducati Dah Tak Mampu 'Tidur Lena'!

Kenyataan 'panas' yang mengaitkan Aprilia dan Ducati itu keluar daripada veteran MotoGP, Carlo Pernat yang pernah menguruskan beberapa pelumba termasuk legenda Itali, Valentino Rossi, Andrea Iannone dan Enea Bastianini

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/29/20251 min read

DUCATI ketika ini didakwa dalam situasi 'tidak senang duduk' berikutan 'ancaman' yang dibawa oleh Aprilia dalam saingan MotoGP, kata pengurus veteran di kejuaraan elit itu, Carlo Pernat.

Malah, Pernat yang pernah menguruskan beberapa pelumba termasuk legenda Itali, Valentino Rossi, Andrea Iannone, Enea Bastianini berkata jentera Aprilia RS-GP 2025 'lebih baik' berbanding Ducati Desmosedici GP yang muncul juara dunia.

Ducati menutup musim 2025 dengan pencapaian cemerlang — merangkul tiga gelaran dunia (pelumba, pengeluar dan pasukan) dan memenangi 17 daripada 22 perlumbaan GP.

Pelumba bintang Sepanyol, Marc Marquez menjadi watak utama apabila meraih 11 kemenangan untuk mengesahkan gelaran dunia MotoGP ketujuhnya dan pertama bersama pasukan 'kilang' Ducati Lenovo.

Tetapi di sebelik penguasaan Marquez, jentera Ducati Desmosedici 25 tidak begitu 'mesra' buat Pecco Bagnaia dan seorang lagi pelumba yang menunggang jentera GP25, Fabio Di Giannantonio di VR46 Ducati.

Dan pada masa sama, Aprilia mencatat sejarah dengan musim terbaik mereka dengan merangkul empat kemenangan dan menamatkan saingan di tempat kedua kategori pengeluar dengan pelumba terbaiknya, Marco Bezzecchi di tempat ketiga keseluruhan.

Pernat mengakui kehebatan Marquez menjadi faktor penentu buat Ducati, namun memberi amaran bahawa kelebihan itu mungkin tidak lagi mencukupi musim depan.

"Ducati tidak akan mampu untuk tidur lena," kata Pernat kepada Telenord. "Aprilia sudah tiba. Malah, bukan saja mereka sudah tiba, saya dapat merasai juga yang mereka mempercepatkan pecutan.

"Ia benar jika kita lihat kepada kedudukan keseluruhan, ia tamat di tempat kedua, di belakang seorang lagi pelumba Ducati, tetapi Alex Marquez menunggang GP24. Dan dengan apa yang kita lihat, adalah hampir tepat untuk menyatakan yang tahun ini Aprilia RS-GP jentera lebih baik daripada jentera Desmosedici tahun ini.

"Jujur, Marc Marquez menjadi perbezaan. Begitupun saya tidak tahu sama ada tahun depan ia akan mencukupi, dan bukan hanya untuk satu alasan."

Separuh kedua musim menyaksikan Aprilia kerap mencabar Ducati dan Marquez di barisan hadapan, sekali gus menimbulkan harapan besar untuk perebutan gelaran dunia pada 2026.