APRILIA Tak Minat Khidmat Marc Marquez, Fabio Quartararo
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/7/20232 min read


APRILIA tidak berminat untuk mendapatkan khidmat dua juara dunia MotoGP, Marc Marquez atau Fabio Quartararo sekalipun peluang untuk merekrut kedua-dua pelumba berbakat itu luas terbuka.
Ketika ini, Marquez dan Quartararo sedang berdepan dengan kesulitan dan bergelut untuk bersaing berikutan prestasi jentera Honda dan Yamaha yang dilihat tidak mampu menyaingi jentera Eropah.
Dan kedua-duanya meletakkan ujian di Misano pada minggu depan, sejurus perlumbaan Grand Prix San Marino berakhir sebagai tempoh untuk memutuskan sama ada mereka kekal bersama pasukan masing-masing atau angkat kaki.
Sekalipun Marquez dan Quartararo masih memiliki kontrak bersama pasukan masing-masing hingga musim depan, khabar angin 'perpindahan' itu kuat dimainkan namun bagi Aprilia, ia bukan sesuatu yang menarik.
Malah kemenangan 1,2 yang diraih pelumbanya, Aleix Espargaro dan Maverick Vinales di Grand Prix Catalunya minggu lalu membuktikan Aprilia memang memiliki kepercayaan kepada gandingan berkenaan.
"Jentera kami sudah matang dan pasukan juga sama. Ia bukanlah perancangan kami untuk jangka masa panjang," kata Pengarah Teknikal Aprilia Racing, Romano Albesiano kepada GPOne.
"Kami mempunyai empat pelumba yang menakjubkan, kami meningkat bersama-sama dengan Aleix. Kami memperbaiki kematangan kami dan bekerja keras dengan pasukan. Ini memberikan kamu idea sejauh mana pelumba boleh berevolusi.
"Sebagai contoh, jika saya menggunakan evolusi ini kepada Maverick, yang sudah pun berada di tahap yang tertinggi, mungkin dia akan meningkat pada sudut beberapa aspek seperti tahap konsistennya, kita bercakap mengenai pelumba yang mempunyai potensi yang gila.
"Saya bercakap dengan rakan dan peminat, selama mana Aleix mahu meneruskan dan masih memberi saingan yang kuat, seperti ini, akan ada jentera untuknya di Aprilia.
"Ia sama untuk Maverick. Saya banyak meletakkan harapan kepadanya, lebih daripada apa yang kita lihat ketika ini, yang juga sudah pun banyak. Dia kini boleh melangkah ke depan."
Selain pasukan 'factory', Albesiano turut meletakkan kepercayaan kepada pasukan satelitnya, RNF yang ketika ini dipacu pelumba Portugal, Miguel Oloveira dan Raul Fernandez.
“Miguel Oliveira adalah pelumba yang menakjubkan,” kata Albesiano. “Saya tidak tahu di mana dia akan berada jika tidak kerana nasib yang malang yang dia hadapi ketika ini.
"Sejurus dia mendapat peluang, dia akan berada di depan. Dia juga mempunyai kebijaksanaan, dan pendekatan yang diambilnya memang menarik.
"Saya juga menggemari Raul Fernandez kerana dia mempunyai bakat yang cukup besar dan hanya memerlukan sokongan, tenang dan syarikat yang mempercayai dirinya. Dan kami adalah syarikat itu.
"Kami akan memberikannya banyak masa untuk berkembang dan membuktikan nilainya yang kami percaya amat-amat tinggi. Jadi jika Marquez atau Quartararo sedia untuk disambar, jadi saya boleh katanya yang kami tidak memerlukan mereka."








