APRILIA Tak Sabar Nak Layan Ujian Di Sepang

Aprilia berkata bukan rahsia yang hasrat mereka adalah untuk tampil sebagai pencabar utama dalam saingan MotoGP pada musim 2026 selepas mengharungi kempen disifatkan paling mendebarkan sejak kemunculan semula pasukan itu sedekad lalu

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/24/20251 min read

APRILIA menegaskan bukan rahsia hasrat mereka adalah untuk tampil sebagai pencabar utama dalam saingan MotoGP pada musim 2026 selepas mengharungi kempen disifatkan paling mendebarkan sejak kemunculan semula pasukan itu sedekad lalu.

Pasukan berpangkalan di Noale itu secara keseluruhan mencatat 3 kemenangan menerusi Marco Bezzecchi bersama pasukan utama dan satu daripada pasukan satelit Trackhouse daripada Raul Fernandez.

Dan mereka menamatkan kempen di kedudukan kedua keseluruhan kategori pengeluar dan tempat ketiga keseluruhan pelumba menerusi Bezzecchi.

Bos Aprilia Racing, Massimo Rivola, mengakui musim 2025 penuh dengan suka duka tetapi tetap menjadi batu loncatan penting untuk sasaran lebih besar dan memuji sumbangan Trackhouse.

Memetik laporan Crash, Rivola berkata mereka kekuatan yang dimiliki pencabar mereka tetapi semangat untuk terus maju yang dipupuk oleh kerja keras Fabiano Sterlacchini (Pengarah Teknikal) akan memastikan mereka tampil sebagai protagonis sejak awal musim.

"Kami tidak sabar menantikan ujian di Sepang kerana RS-GP26 mesti lahir sebagai jentera juara," kata Rivola.

Sekalipun positif, nasib berbeza menimpa pelumbanya, Jorge Martin yang juga juara dunia MotoGP 2024 yang menyertai Aprilia pada 2025 apabila hanya sempat menamatkan empat daripada 22 perlumbaan akibat kecederaan serius.

“Ia musim yang amat mendebarkan dengan dua sisi berbeza, kecederaan Jorge yang serius dan kebangkitan luar biasa Marco. Kami mengumpul lebih 400 mata dalam Kejuaraan Pengeluar, angka yang membolehkan kami menatap 2026 dengan keyakinan untuk memburu gelaran,” katanya.

Rivola turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan Trackhouse yang menyumbang kepada pembangunan teknikal dan daya saing Aprilia.

“Kami sedar lawan sangat kuat, tetapi semangat untuk terus maju yang dipupuk oleh kerja keras Fabiano Sterlacchini (Pengarah Teknikal) akan memastikan kami tampil sebagai protagonis sejak awal musim," katanya.

Aprilia juga mencuri perhatian pada ujian pasca-musim di Valencia pada 18 November lalu yang menyaksikan Martin menguji casis baharu, Bezzecchi mencuba fairing terkini dengan Fernandez menutup sesi dengan catatan masa terbaik menggunakan jentera yang dibawanya sepanjang musim.