APRILIA Tak Sabar Uji RS-GP Di Sepang

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/25/20251 min read

BOS Aprilia Racing, Massimo Rivola berkata motivasi pasukannya ketika ini cukup tinggi bagi mengharungi musim baharu MotoGP.

Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia Racing itu menjelaskan pasukannya tidak sabar untuk mengharungi ujian pra-musim pertama MotoGP yang dijadual berlangsung hujung bulan ini di Sepang.

"Saya tidak sabar untuk berada di Sepang dan melihat barisan baharu kami," kata Rivola. "Motivasi sudah pun cukup baik ketika di Barcelona. Malah, sehari sebelum itu sudah cukup istimewa.

"Banyak yang berubah. Juga bersama Fabiano Sterlacchini (Pengarah Teknikal Aprilia Racing), kami mempunyai cabaran baharu.

"Apa yang boleh dikatakan adalah perkara yang paling baik yang kami tidak kurang ketika ini adalah motivasi. Kami tidak sabar."

Selain Sterlacchini yang mempunyai pengalaman di Ducati dan KTM, Aprilia turut memperoleh tiga pelumba baharu - juara dunia MotoGP 2024, Jorge Martin dan Marco Bezzecchi serta pelumba Jepun, Ai Ogura di pasukan satelit, Trackhouse.

"Dalam perlumbaan motosikal, kombinasi antara kejuruteraan dan perasaan pelumba, keyakinan yang mereka miliki adalah amat penting," kata Rivola.

"Kerana perkara penting dalam prestasi adalah sejauh mana pelumba mampu untuk menekan jentera sehingga hadnya.

"Seperti biasa, kamu perlu bekerja dalam semua perkara, membangunkan semua aspek agar tidak mempunyai titik kelemahan.

"Tetapi sudah tentu pada babak pertama ini, kami memberi tumpuan kepada pembangunan di bahagian enjin dan aerodinamik kerana jelas, kami mempunyai homologasi untuk perkakasan ini pada awal musim.

"Kemudian kami akan turut bekerja di beberapa aspek terhadap jentera dan elektronik. Jadi boleh dikatakan yang kami cuba untuk meningkatkan setiap aspek jentera bagi keseluruhan projek."