APRILIA Tuntut Jorge Martin Untuk Percaya Diri
Sepanjang musim debutnya bersama Aprilia musim ini, Jorge Martin yang masih dalam proses menyesuaikan diri dengan jentera baharu hanya beraksi dalam tujuh perlumbaan akibat kecederaan berulang bermula ketika ujian pra-musim di Sepang
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/30/20251 min read


SELEPAS melalui musim penuh cabaran pada kempen 2025, bos Aprilia Racing, Massimo Rivola menegaskan juara dunia MotoGP 2024, Jorge Martin perlu lebih yakin dengan dirinya sendiri bagi menghadapi musim 2026.
Sepanjang musim debutnya bersama Aprilia musim ini, pelumba kelahiran Sepanyol itu yang masih dalam proses menyesuaikan diri dengan jentera baharu hanya beraksi dalam tujuh perlumbaan akibat kecederaan berulang bermula ketika ujian pra-musim di Sepang.
Begitupun, Martin masih sempat mempamerkan sedikit kemampuan sebenarnya termasuk aksi mengagumkan dari petak ke-18 hingga menamatkan saingan di tempat keempat pada GP Hungary.
Rivola ketika ditemui selepas tamat musim di Valencia menjelaskan Martin yang pernah cuba untuk keluar daripada pasukan itu pada pertengahan musim kini sudah mula memahami potensi sebenar jentera Aprilia, namun perkara paling penting adalah keyakinan diri.
"Saya fikir Jorge faham ada potensi dalam pasukan dan jentera ini, dan perkara pertama yang Jorge perlu fikir adalah untuk mempercayai dirinya, percaya yang faktanya dia juga boleh berada di sana," kata Rivola.
"Sebagai juara dunia, semua orang meletakkan jangkaan yang lebih kepadanya. Tetapi dia perlu memberikan dirinya masa kerana dia tidak perlu menunjukkan kepada kami yang dia laju, semua orang tahu yang kelajuannya luar biasa. Tetapi kadang kala, apabila kamu menunggang terlalu banyak, perkara akan tidak memihak kamu. Jadi ada laluan untuk melakukannya."
Sebelum ini, Rivola turut mengesahkan yang pengurus kepada Martin memberitahunya yang dia pelumba itu mendapat tawaran daripada Honda.

