APRILIA Tuono 457 Diintip Jalani Ujian, Tapi Nampak Macam Moto Guzzi

TERKINI

1/9/20241 min read

SYARIKAT pengeluar motosikal Itali, Aprilia diketahui sedang sibuk menghasilkan motosikal bersesaran bawah 500 cc dengan penawaran terbaharunya di pasaran adalah Aprilia RS457.

Berdasarkan informasi daripada Piaggio Malaysia, motosikal 'Sportbike' berkenaan memang menjadi antara model yang bakal dibawa masuk ke pasaran tempatan dengan pengeluarannya di India sudah pun bermula.

Tetapi di peringkat global, timbul satu perkembangan menarik yang menyaksikan sebuah model baharu diintip menjalani ujian membabitkan pengeluar yang bernaung di bawah Kumpulan Piaggio itu.

Menerusi laporan media Jerman, Motorrad, berdasarkan imej yang diperoleh, motosikal yang diuji menggunakan enjin yang sama dengan Aprilia RS457.

Ini seakan memberi petunjuk bahawa Aprilia sedang membangunkan model 'Saudara' kepada Aprilia RS 457 iaitu Aprilia Tuono 457 yang diposisikan dalam segmen 'Naked'.

Tetapi daripada laporan daripada media Itali, Moto.it pula, imej ujian yang diperoleh itu nampak cukup berbeza daripada struktur tradisi Aprilia 'RS-Tuono'.

Sekalipun diposisikan dalam segmen 'Naked', rekaan Aprilia Tuono nampak seperti sebuah motosikal 'Sportbike' dan memiliki 'fairing' namun dalam imej itu, ia tidak memiliki 'fairing' dan berlampu bulat.

Dan menariknya, motosikal yang diuji itu tidak menggunakan kerangka 'Twin-Spar' seperti digunakan oleh RS 457 namun 'Tubular' dengan suspensi belakang bukan 'monoshock' namun berkembar.

Berikutan ia nampak 'tidak selari' dengan jenama Aprilia, ia membuka ruang untuk memberi satu lagi kemungkinan bahawa motosikal yang sedang menjalani ujian itu adalah model sebuah jenama lain yang bernaung di bawah Piaggio iaitu Moto Guzzi.

Dari sudut gaya, ia sememangnya mengikuti 'lenggok' Moto Guzzi terutama membabitkan rekaan lampu belakang yang nampak seperti V100 Mandello yang mendapat inspirasi ekkzos jet pejuang.

Dari sudut perkongsian kepakaran atau teknologi, berikutan bernaung di bawah 'satu bumbung', Aprilia dan Moto Guzzi memang menjalankan 'perkongsian' menerusi model-model terkininya.

Jadi, bukan satu yang mustahil motosikal yang sedang diuji itu akan menggunakan enjin Aprilia namun akan tampil dengan jenama Moto Guzzi.

Apa yang lebih menarik, berdasarkan informasi daripada 'orang kuat' Piaggio Malaysia kepada kami di MotoDotMy, Moto Guzzi memang akan mengikuti langkah Aprilia dengan memperkenalkan motosikal bersesaran sederhana dan mungkin ini adalah gambaran awal. Menarik untuk disaksikan.

Link artikel Motorrad di sini. Erlkönig: Aprilia 457 Naked Bike mit 48 PS für A2 | MOTORRADonline.de