ARAGON Berupaya Jadi Medan Kebangkitan Hakim Danish - ZK

Sebelum menghadapi kempen di Aragon, Hakim Danish pada GP British awal bulan ini terpaksa menelan kepahitan apabila gagal menamatkan saingan akibat kemalangan selepas dilanggar oleh pelumba lain

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/28/20261 min read

PENGURUS SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin optimis Litar Aragon mampu menyajikan skrip berbeza buat pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli bersandarkan kepada rekod dan keserasian anak didiknya itu di litar berkenaan.

Hakim Danish pada GP British awal bulan ini terpaksa menelan kepahitan apabila gagal menamatkan saingan akibat kemalangan selepas dilanggar oleh pelumba lain.

Dan pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi itu berpeluang untuk menebus duka itu apabila turun beraksi pada Pusingan ke-13 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Grand Prix (GP) Aragon 2026 di Sepanyol, hujung minggu ini pada litar yang boleh dianggap bertuah buatnya.

"Perlumbaan di Aragon sememangnya antara aksi yang paling kita nantikan. Saya percaya litar ini sangat sesuai dengan gaya tunggangan Hakim Danish," kata Zulfahmi.

"Malah, dia juga mempunyai rekod cemerlang dan pengalaman yang baik di sini menerusi saingan sebelum ini, khususnya ketika beraksi di Red Bull MotoGP Rookies Cup.

Meskipun mempunyai kelebihan, Zulfahmi yang juga bekas pelumba Moto3 negara tetap berwaspada dengan 'musuh utama' di Aragon, iaitu keadaan cuaca yang tidak menentu.

Katanya, keadaan angin yang kuat serta ancaman hujan lebat boleh menyebabkan perlumbaan berubah sekelip mata yang sekali gus menuntut perancangan strategi yang lebih teliti daripada pasukan.

"Semuanya bergantung kepada Hakim serta keadaan cuaca sepanjang minggu perlumbaan. Seperti yang kita tahu, Aragon antara litar yang agak sukar dijangka keadaan cuacanya.

"Saya berharap cuaca minggu ini kekal stabil supaya Hakim dapat menjalani sesi latihan dengan lancar, sekali gus merealisasikan sasaran untuk menempatkan diri secara terus ke pusingan kelayakan kedua (Q2).

"Berada di Q2 sangat penting bagi membolehkan dia bermula di petak yang baik dan bersaing dalam kelompok hadapan pada hari perlumbaan nanti,"katanya.

Mengulas mengenai persiapan menjelang pusingan ke-13 itu, Zulfahmi berpuas hati dengan komitmen yang dipamerkan oleh pelumba berusia 19 tahun itu.

"Sepanjang tempoh rehat sebelum ini, saya telah merangka dan melakukan persiapan rapi bersama Hakim. Kami akan cuba memberikan yang terbaik dan memastikan segala persiapan di litar dilakukan sebaik mungkin," katanya.