ARAHAN Pasukan Tak Perlu - Marc Marquez
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/29/20241 min read
MARC Marquez mengakui pemburuan kejuaraan dunia MotoGP musim ini yang kini hanya membabitkan dua pelumba Ducati berbaki dua pusingan - Malaysia dan Valencia sebagai rumit.
Ketika ditemuramah di Thailand oleh TNT Sports, Marquez menjelaskan situasi itu rumit berikutan kedua-dua pelumba yang secara matematik masih berpeluang - Jorge Martin dari Pramac Ducati dan Francesco Bagnaia dari Ducati Lenovo berlumba dengan pengeluar yang sama.
Jadi perkara seperti arahan pasukan atau 'team order' sukar dibuat.
Dan ketika ditanya mengenai adalah dia akan 'masuk campur' dalam penentuan kejuaraan itu, juara dunia lapan kali itu turut menjawabnya sambil berjenaka.
"Sudah tentu ia sukar, saya pernah terbabit dengannya sebelum ini," kata Marquez sambil ketawa.
Kata-kata Marquez itu tampak seperti mengibas kembali kepada kejuaraan pada 2015 yang menyaksikan legenda Itali, Valentino Rossi gagal menjulang gelaran yang akhirnya disambar Jorge Lorenzo pada pusingan terakhir.
Sekalipun sudah lama berlaku, Rossi tampak masih belum dapat melupakannya dan menuduh Marquez sengaja campur tangan dalam pertarungannya dengan Lorenzo.
Dan kembali ke Malaysia minggu ini, lokasi di mana insiden itu berlaku, Marquez yang pernah ditanya mengenai perkara itu sebelum itu menafikan ia akan dibuat.
"Pada akhirnya sebagai pelumba, kamu sentiasa cuba memberikan 100 peratus, dan kita lihat di Phillip Island yang, jika kamu perlu melakukan gerakan yang hebat, kamu akan melakukannya.
"Tetapi posisi Ducati adalah sukar, kerana dua pelumba Ducati bertarung merebut kejuaraan. Jika salah seorang adalah pelumba Ducati dan satu lagi KTM, ia mudah untuk mengetahui apa yang kamu perlu lakukan."
Marquez berkata, arahan pasukan hanya diperlukan untuk pelumba yang ingin menjulang gelaran tetapi mereka adalah pelumba paling perlahan dalam perebutan itu.
"Tetapi seperti ini (dua pelumba Ducati bersaing untuk gelaran), saya fikir semua orang akan melakukan 100 peratus," kata Marquez.
"Pada akhirnya, saya sentiasa berkata perkara yang sama, jika kamu mempunyai kelajuan, kamu tidak memerlukan arahan pasukan. Jika kamu adalah yang terpantas di sana, kamu tidak memerlukan arahan pasukan. Jadi saya fikir yang paling laju akan menang."