ARC Helmet Lancar ARC XRS Edisi Khas 'Star Wars' Di MBS 2026
Menggunakan model generasi baharu topi keledarnya 'XRS', apa yang menarik adalah koleksi ARC XRS Edisi Khas 'Star Wars' direka dan dibangunkan sepenuhnya oleh pasukan pakar ARC Helmet dengan menggabungkan aspek fungsi, keselesaan dan gaya kontemporari
PELANCARAN
5/31/20262 min read


PENGELUAR jenama topi keledar terkemuka tempatan, ARC Helmet melancarkan koleksi terbaharunya yang boleh dianggap menarik, ARC XRS Edisi Khas 'Star Wars' sempena acara Malaysia Bike Show 2026.
Menggunakan model generasi baharu topi keledarnya 'XRS', apa yang menarik adalah koleksi ARC XRS Edisi Khas 'Star Wars' direka dan dibangunkan sepenuhnya oleh pasukan pakar ARC Helmet dengan menggabungkan aspek fungsi, keselesaan dan gaya kontemporari.
Lebih menarik, model ARC XRS turut melakar sejarah tersendiri apabila menjadi model pertama ARC Helmet yang dibangunkan mematuhi piawaian keselamatan Eropah terkini, ECE 22.06.
Dan ia sekali gus menandakan kejayaan penting jenama tempatan itu dalam melebarkan sayapnya ke pasaran antarabangsa.
Seperti namanya, ARC XRS Edisi Khas 'Star Wars' menyasarkan penunggang motosikal yang juga peminat tegar francais filem fiksyen sains popular itu dan ia diserlahkan dengan corak grafik watak ikonik kegemaran ramai seperti Darth Vader, BB-8, The Mandalorian, dan Stormtrooper.
Selain koleksi dewasa, ARC Helmet turut memperkenalkan Edisi Remaja yang turut diinspirasikan daripada watak Star Wars termasuk Grogu, serta mempamerkan rangkaian topi keledar remaja yang menampilkan watak popular Disney seperti Toy Story, Zootopia, dan Mickey and Friends.
Wakil ARC Helmet, Lee Pei Wen, berkata koleksi ARC XRS mencerminkan komitmen berterusan jenama itu untuk berevolusi seiring dengan kehendak generasi penunggang baharu, tanpa meminggirkan aspek kepercayaan dan praktikaliti yang sinonim dengan jenama itu selama berdekad lamanya.
"Cara penunggang memilih topi keledar hari ini sudah berevolusi. Keselamatan dan keselesaan kekal sebagai keutamaan, namun penunggang masa kini juga mencari produk yang mampu mencerminkan personaliti serta gaya hidup mereka.
"Menerusi rangkaian XRS, kami mahu mencipta topi keledar yang mengimbangi fungsi kegunaan harian dengan identiti rekaan yang lebih utuh, di samping mengekalkan kualiti terbaik untuk penunggang Malaysia," katanya Pei Wen.
Kelebihan ARC XRS
Ia direka khusus dengan mengambil kira keadaan cuaca dan keperluan penunggang di Malaysia yang menampilkan cangkerang yang lebih besar, pelindung matahari terbina dalam, sistem pelepasan pelindung pantas, tersedia 'pinlock', serta pelapik dalaman yang boleh dibasuh.
ARC XRS juga mesra pemakai cermin mata dan memberi penekanan optimum terhadap sistem pengudaraan serta aerodinamik berdasarkan maklum balas penunggang tempatan.
Sejarah ARC Helmet
Ditubuhkan di Butterworth, Pulau Pinang pada 1973, ARC Helmet yang dipacu sebagai perniagaan keluarga sudah beroperasi lebih 50 tahun. Pemahaman mendalam terhadap kondisi tunggangan tempatan membolehkan jenama ini mengumpul pengikut setia yang kukuh dalam komuniti permotoran negara.
Koleksi ARC XRS Edisi Khas Star Wars ditawarkan pada harga RM 370, manakala edisi Remaja dijual pada harga RM135. Kesemua koleksi ini boleh didapati di pasaran bermula 4 Julai depan menerusi pengedar sah dan peruncit terpilih ARC Helmet di seluruh negara.







