ARC Helmet Perkenalkan ARC XRS Sepang 26 Limited Edition, Tayang Model Karbon
ARC XRS Sepang 26 Limited Edition menampilkan konsep Racing Adrenaline dan diinspirasikan daripada dunia perlumbaan ditambah sentuhan warna yang sinonim dengan identiti Malaysia dan dijual pada harga RM 330
PELANCARAN
10/29/20261 min read


PENGELUAR topi keledar terkemuka tempatan, ARC Helmet sempena MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia 2026 memperkenalkan model edisi terhad ARC XRS Sepang 26 Limited Edition di reruainya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) PETRONAS.
Menurut ARC, ARC XRS Sepang 26 Limited Edition menampilkan konsep Racing Adrenaline dan diinspirasikan daripada dunia perlumbaan ditambah sentuhan warna yang sinonim dengan identiti Malaysia.
Ditawarkan pada harga mampu milik RM 330, topi keledar gaya sporty itu padat dengan ciri praktikal masa kini, selain dibangunkan mengikut piawaian keselamatan ECE 22.06.
Dan bagi memenuhi keperluan harian penunggang, ARC XRS Sepang 26 Limited Edition turut dilengkapi 'sun visor' terbina dalam, sistem pelindung muka 'click-release', rekaan sedia Pinlock, serta pelapik dalaman mesra cermin mata yang boleh ditanggalkan untuk dicuci.
Aspek aerodinamik dan sistem pengudaraan juga dihasilkan khusus bagi memberikan keselesaan optimum bersesuaian dengan cuaca tropika di negara ini, dengan model terhad ini boleh didapati secara eksklusif di SIC bermula 30 Oktober hingga 1 November 2026.
Selain pelancaran ARC XRS Sepang 26 Limited Edition, ARC Helmet turut memberi bayangan hala tuju baharu jenama itu ke arah penghasilan produk lebih premium.
Justeru, turut didedahkan di reruai berkenaan adalah prototaip topi keledar premium terbaharunya, ARC Lite Ritz Carbon yang memfokuskan kepada penggunaan material gentian karbon.
Menyasarkan berat serendah 1,100 gram, ia dibangunkan khusus untuk penunggang yang mementingkan helmet ringan bagi kegunaan jarak jauh, disokong oleh kemasan dalaman premium Alcantara serta sistem pengikat D-Ring daripada material magnesium.
Menurut ARC Helmet, model ini akan ditawarkan dalam 3 pilihan kemasan visual eksklusif iaitu Forged Carbon, Twill Weave dan Plain Weave dan dijangka memasuki pasaran tempatan secara rasmi pada Januari 2027.



