ARIIC 400 GS Debut Global Di China, Bakal Muncul Di Malaysia 2026!
Apa yang menarik, kemunculan ARIIC 400 GS adalah pendedahan global dan berikutan ia masih dalam bentuk prototaip, ia berkemungkinan akan mengalami perubahan termasuk namanya
TERKINI
12/30/20251 min read


PERSAINGAN dalam segmen skuter bergaya 'Adventure' di Malaysia bakal terus meriah apabila ARIIC mendedahkan prototaip skuter adventure, ARIIC 400 GS ketika kunjungan delegasi MForce Bike ke China, baru-baru ini.
Apa yang menarik, ini adalah pendedahan global buat ARIIC 400 GS dan berikutan ia masih dalam bentuk prototaip, ia berkemungkinan akan mengalami perubahan termasuk namanya.
Seperti diketahui, MForce Bike selaku pengedar eksklusif ARIIC di Malaysia sebelum ini pernah mendedahkan yang pihaknya sedang menyiapkan sebuah model baharu dengan nama ARIIC ADT450.
Dan menariknya, Ketua Pegawai Eksekutif MForce Bike, Asri Ahmad turut mendedahkan mereka turut terbabit dalam proses reka bentuk, penyelidikan dan pembangunan model berkenaan.
Lebih menarik, skuter itu dijangka akan dilancarkan secara rasmi ketika MForce Motorshow yang akan berlangsung pada Mei 2026.
Sekalipun tidak mendedahkan spesifikasi lengkap, menurut maklumat ARIIC 400 GS dipadankan dengan enjin 369 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api.
Kuasa yang dihamburkan adalah 33.5 Hp pada 7,500 rpm dan tork 38.3 Nm pada 5,500 rpm.
Seperti skuter baharu yang lain, ia juga dijangka dipadankan dengan ABS dwi-saluran, Kawalan Cengkaman dan panel meter TFT.
Ciri-ciri menarik lain termasuklah fork USD, penyerap hentak berkembar, lampu LED, serta penghadang angin boleh laras secara manual dengan berat sekitar 188 kg. Sama-sama kita nantikan.







