ARIIC Touch 250 (2026) Meriahkan Pasaran Skuter Maxi Tempatan, RM 13,688!
Tampil dengan reka bentuk skuter maxi konvensional, ARIIC Touch 250 (2026) mempertaruhkan gaya elegan yang digabungkan dengan tahap kepraktisan tinggi
PELANCARAN
5/30/20261 min read


SEPERTI diuar-uarkan sebelum ini, ARIIC Malaysia pada acara MForce MotoXperience 2026 sempena MBS 2026 melancarkan penawaran terbaharu dalam segmen skuter maxi bergaya eksekutif - ARIIC Touch 250 (2026).
Dan seperti yang dijanjikan oleh bos MForce Bike ketika mengumumkan kehadiran ARIIC Touch 250 (2026) di ibu pejabat ARIIC di China, tahun lalu, harga yang ditawarkan cukup menarik, RM 13,6888 (asas).
Bersama harga menarik itu adalah tiga pilihan warna iaitu Matt Black, Urban Green dan Phantom Grey.
Tampil dengan reka bentuk skuter maxi konvensional, ARIIC Touch 250 (2026) mempertaruhkan gaya elegan yang digabungkan dengan tahap kepraktisan tinggi. Justeru menurut ARIIC Malaysia, ia menjadikannya antara pilihan ideal untuk kegunaan harian mahupun tunggangan santai jarak jauh.
Dari segi prestasi, ARIIC Touch 250 dikuasakan oleh enjin 249 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi automatik CVT.
Kuasa dihamburkan pada angka 22.5 Hp pada 7,500 rpm dengan tork 23.5 Nm pada 7,500 rpm.
Antara daya tarikan utama ARIIC Touch 250 (2026) adalah perincian teknologinya dengan ia dilengkapi visor cermin penghadang angin yang boleh dilaras secara elektrik, sistem kunci pintar, sistem pencahayaan LED sepenuhnya.
Lebih menarik, penunggang dihidangkan dengan paparan panel meter TFT bersaiz 6.75 inci yang menyokong ciri sambungan ke telefon pintar dan sistem navigasi, memberikan pengalaman tunggangan yang lebih interaktif.
Seperti skuter moden lain, ARIIC turut menawarkan kelengkapan standard bertaraf premium termasuk Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran, Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), port pengecas USB, serta kamera perakam 'dashcam'.
Walaupun sarat dengan pelbagai kelengkapan moden, ARIIC Touch 250 (2026) mengekalkan berat yang agak ringan iaitu sekitar 147 kg, sekali gus memberikan kelebihan dari segi pengendalian yang lincah.





