ARRC 2023: 3 'DNF' Dalam 6 Perlumbaan, Azroy Lebih Fokus Di Mandalika

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/9/20231 min read

DILABEL salah seorang pelumba negara yang berpotensi besar menjulang gelaran keseluruhan kelas SuperSports 600 di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim 2023, Azroy Hakeem Anuar seperti kehilangan 'kata-kata' apabila dia ketika ini menghuni tangga ke-7 keseluruhan perlumbaan elit Asia itu.

Daripada enam perlumbaan yang sudah berlangsung, nasib jelas tidak begitu menyebelahi Azroy yang berlumba bersama pasukan Boon Siew Honda Racing Team dan menunggang jentera Honda CBR600RR apabila dia terpaksa menamatkan tiga perlumbaan dalam status 'DNF' atau tidak menghabiskan perlumbaan.

Lebih mengecewakan, ia berlaku dalam setiap pusingan termasuk di laman sendiri, Litar Antarabangsa Sepang - lokasi di mana dia turut meraih kemenangan pertama dan satu-satunya podium untuknya musim ini.

Justeru, fokusnya menjelang aksi Pusingan 4 yang berlangsung di Litar Mandalika, Indonesia hujung minggu ini adalah untuk berusaha bergelar pemenang sekalipun sedar tugas yang dihadapi cukup getir.

"Sejujur-jujurnya, saya tiada sebarang jawapan untuk diberikan mengenai insiden malang yang dihadapi oleh saya sepanjang musim ini," kata Azroy.

"Bagi diri saya, saya hanya memberikan yang terbaik. Saya menggunakan sebaiknya pengalaman dan skil saya tetapi saya rasa apabila kamu tidak mempunyai tuah, ia bukan untuk kamu."

Pertama kali 'merasai' litar Mandalika, Azroy berkata: "Cabaran sebagai pelumba yang kali pertama berlumba di litar ini adalah bagaimana untuk mengadaptasinya dengan pantas.

"Seperti pelumba-pelumba lain, kecuali pelumba Indonesia, kami bermula daripada 'kosong' dan ia juga sesuatu yang menarik. Banyak kerja keras perlu dilakukan pada minggu ini tetapi apa maknanya perlumbaan tanpa kerja keras?

"Sepanjang karier saya, saya mendapat inspirasi daripada Marc Marquez. Dia agresif di litar dan pada masa sama gerakannya bijak. Ini adalah ciri yang penting kepada pelumba terutama jika mereka berlumba untuk menang.

"Sasaran saya (di Mandalika) adalah untuk memberi saingan kepada perlumbaan dan berjuang untuk meraih kemenangan," katanya.

Selepas aksi di Indonesia, kempen ARRC musim ini akan 'bergerak' ke China sebelum menutup tirainya di Thailand.