ARRC 2023: Akui Jentera Yamaha Kurang 'Padu', Tapi Kasma Mahu Momentum Di Sugo Diteruskan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/10/20231 min read

SELEPAS bergelut dengan prestasi pada dua pusingan awal Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim ini, Kasma Daniel Kasmayudin seakan kembali meraih rentak di Pusingan 3 di Jepun dan prestasi serupa ingin dibawa ke Mandalika, minggu ini.

Mengakui jentera Yamaha agak bergelut untuk bersaing dengan pengeluar lain terutama BMW dalam kelas elit ASB1000, bekas pelumba Moto2 negara itu merangkul kemenangan pertamanya musim ini pada Perlumbaan 1 di Sugo, Jepun.

Tetapi keputusan sama yang diharapkan pada Perlumbaan 2 tidak menjadi kenyataan apabila pelumba pasukan Yamaha Gen Blue Racing Team Asean itu terjatuh.

Dan menjelang perlumbaan Pusingan 4 di Mandalika, esok, Kasma berkata dia mengharapkan momentum yang diperolehnya di Jepun masih belum pudar.

"Saya akan cuba mengekalkan momentum yang sama seperti saya dapat di Perlumbaan 1 di Pusingan 3 di Jepun sebelum ini," kata Kasma. "Saya turut berpeluang meraih podium pada Perlumbaan 2 (di Sugo) tetapi malangnya saya terjatuh.

"Apapun, ia adalah motivasi yang saya perlukan untuk mengulangi kemenangan saya ketika berlumba di Mandalika.

"Musim ini sudah tentu lebih mencabar tetapi jentera kami sudah mengharungi penambahbaikkan tetapi ia masih sukar untuk menyaingi jentera lain seperti BMW dan Honda yang nampaknya melakukan peningkatan yang hebat.

"Begitupun, kami perlu mengadaptasi apa yang kami ada dan bekerja lebih keras untuk mendapatkan keputusan lebih baik."

Mengulas lanjut aksi di Mandalika yang menjadi penampilan sulungnya di litar berkenaan, Kasma menjelaskan dia mendapatkan nasihat salah seorang pelumba negara yang pernah berlumba di litar itu iaitu Adam Norrodin.

"Dari susun atur litar ini (Mandalika), ia nampak seperti agak teknikal bagi saya. Tidak ada begitu banyak selekoh yang pantas, mungkin satu atau dua tetapi kebanyakannya ia memerlukan kebolehan teknikal.

"Menurut rakan saya, Adam Norrodin yang pernah berlumba di sini, Yamaha mungkin mempunyai peluang di litar ini tetapi kita lihat apa yang berlaku nanti," kata pelumba kelahiran Johor itu.

Selepas tiga pusingan, Kasma yang dilaporkan berpeluang besar untuk 'naik pangkat' ke Moto2 Kejuaraan Motosikal Dunia jika memenangi perlumbaan keseluruhan ASB1000 musim ini menghuni tangga keenam selepas mengumpul keseluruhan 61 mata.