ARRC 2023: Azlan Akui 'Tak Gemar' Zhuhai, Tapi Tetap Buru Podium

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/3/20231 min read

JUARA keseluruhan kelas elit ASB1000 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2019, Azlan Shah Kamaruzaman mengakui Zhuhai, China - venue pusingan 5 minggu ini bukan kegemarannya namun ia bukan alasan untuk tidak memburu podium di litar berkenaan.

Menghuni tangga kelima keseluruhan kelas elit ASB1000 berbaki dua pusingan termasuk Zhuhai, pelumba pasukan ONEXOX BWM TKKR Team itu memiliki pengalaman berlumba di litar itu yang kali terakhir berlangsung pada 2019.

Dan selepas empat pusingan, Azlan ketika ini mengumpul keseluruhan 88 mata dengan kejuaraan dipimpin rakan sepasukannya, Markus Reiterberger dari Jerman dengan jurang agak besar (143 mata).

Mengakui gembira dengan prestasinya pada musim ini, terutama berpandukan penurunan prestasi pada musim lalu, Azlan berkata masih ada ruang untuknya menamatkan kempen di kedudukan podium.

"Sejujurnya, saya bukan peminat Litar Zhuhai," kata bekas pelumba Moto2 negara itu. "Saya pernah berlumba di sini banyak kali dalam kelas 600 cc sebelum ini.

"Masalahnya sentiasa sama iaitu membabitkan permukaan tarmac dan kekurangan geseran.

"Tetapi saya berharap ia akan berbeza kali ini. Markus seorang pelumba yang bagus dan juga seorang yang pantas belajar. Saya banyak belajar daripadanya dan harapnya, kami berdua dapat berada di podium pada penghujung musim."

Mengulas prestasi jentera yang ditunggangnya musim ini, Azlan berkata ia satu kelegaan yang cukup besar.

"Secara keseluruhan, jentera pada musim ini adalah satu transformasi yang besar. Saya mampu untuk mengendalikannya dengan lebih baik dan ia juga datang dengan lebih kuasa terutama ketika memecut dan bersaing di kelompok depan.

"Sasaran saya pada musim ini adalah cuba untuk mengesahkan kedudukan kedua keseluruhan. Masih ada empat perlumbaan berbaki dan saya ketika ini berada di tangga kelima.

"Saya masih lagi berpeluang berpandukan kepada perbezaan mata yang nampaknya tak besar.

"Jika saya boleh bekerja keras dan menamatkan perlumbaan dalam kedudukan podium dalam perlumbaan selepas ini, ada peluang untuk saya menaiki podium dalam kedudukan keseluruhan pelumba," katanya.