ARRC 2023: Helmi, Nazirul Izzat Takluk Mandalika (ss600, UB150), Reiterberger Kekal Penguasaan ASB1000 Perlumbaan 1!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/12/20233 min read

DUA kemenangan di podium utama berjaya dirangkul pelumba negara pada perlumbaan Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2023 di Mandalika, Indonesia, hari ini.

Kemenangan yang berjaya dicapai itu adalah dalam kelas SS600, Helmi Azman (Boon Siew Honda Racing Team) dan Nazirul Izzat Bahauddin (Uma Racing Yamaha Maju Motor Asia Team) dalam kelas UB150 atau kelas 'kapcai'.

Sementara itu, penguasaan pelumba Jerman, Markus Reiterberger dari pasukan ONEXOX BMW TKKR team jelas masih belum dicabar apabila dia meraih kemenangan pada Perlumbaan 1 di Mandalika.

Begitupun, masih ada wakil negara berdiri di atas podium kelas elit itu menerusi Mohd Zaqhwan Zaidi yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan tempat kedua menjadi milik pelumba tuan rumah, Andi Farid Izdihar.

Dalam kelas SS600, selain Helmi, turut berdiri di atas podium adalah seorang lagi pelumba negara, Khairul Idham Pawi juga dari pasukan Boon Siew Honda Racing Team dan melengkapkan kedudukan podium adalah pelumba Jepun, Soichiro Minamimoto (Yamaha Gen Blu Racing Team Asean).

"Kerja yang hebat daripada pasukan yang menyediakan jentera yang hebat," kata Helmi. "Saya tidak begitu selesa semalam tetapi saya amat bersyukur dan beraksi dengan baik pada hari ini.

"Cuaca amat panas di sini dan ia menjadikan perlumbaan makin sukar. Pada permulaan perlumbaan, saya cuba untuk tidak terlalu menekan untuk menyelamatkan tayar.

"Juga dengan pengalaman semalam, kami menghadapi masalah tayar pancit sebanyak dua kali, jadi saya cuba mengawal kelajuan pada hari ini. Saya melakukannya sehingga dua pusingan terakhir sebelum saya memberikan lebih tekanan dan saya amat berpuas hati dengan kemenangan hari ini."

Selain Nazirul, turut menghuni kedudukan podium dalam kelas UB 150 adalah seorang lagi pelumba negara, Md Akid Aziz dari pasukan CARDINALS FACTORY RACING TEAM ARRC.

"Saya amat gembira dengan kemenangan hari ini. Ia benar-benar susah terutama pada selekoh terakhir, kerana saya tahu pelumba di belakang amat hampir," kata Nazirul.

"Apapun, saya lega yang strategi saya berhasil. Ia adalah bagaimana untuk berada di kelompok depan dan mengekalkan momentum. Akan ada perlumbaan esok jadi kita lihat apa yang akan berlaku."

Sementara itu, ketiga-tiga kedudukan podium kelas AP250 berjaya didominasi pelumba tuan rumah dengan kemenangan menjadi milik pelumba Astra Honda Racing Tean, Herjun Atna Firdaus.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara turut mengisi podium iaitu dalam kelas TVS Asia One Make Championship menerusi Ramdan Rosli yang meraih tempat ketiga. Kemenangan menjadi milik pelumba berpengalaman Jepun, Hiroki Ono.

Keputusan Perlumbaan 1 ARRC Indonesia

ASB1000

1. Markus Reiterberger, ONEXOX BMW TKKR Team, 16’05:242s

2. Andi Farid Izdihar, Honda Asia-Dream Racing with SHOWA, 16’10:150s

3. Zaqhwan Zaidi, Honda Asia-Dream Racing with SHOWA, 16’10:228s

4. Haruki Noguchi, SDG MS Harc-Pro.Honda.Ph., 16’13:176s

5. Azlan Shah Kamaruzaman, ONEXOX BMW TKKR Team, 16’16:402s

SS600

1. Helmi Azman, Boon Siew Honda Racing Team, 16’32:170s

2. Khairul Idham Pawi, Boon Siew Honda Racing Team, 16’32:654s

3. Soichiro Minamimoto, YAMAHA GEN BLU Racing Team ASEAN, 16’33:445s

4. Keito Abe, ONEXOX TKKR Racing Team, 16’34:470s

5. Fadillah Arbi Aditama, ASTRA HONDA RACING TEAM, 16’35:136s

AP250

1. Herjun Atna Firdaus, ASTRA HONDA RACING TEAM, 17’59:708s

2. Aldi Satya Mahendra, YAMAHA Racing Indonesia, 18’00:278s

3. Wahyu Nugroho, YAMAHA Racing Indonesia, 18’00:762s

4. Rheza Danica Ahrens, ASTRA HONDA RACING TEAM, 18’00:948s

5. Muhammad Faerozi Toreqoullah, YAMAHA Racing Indonesia, 18’03:290s

UB150

1. Nazirul Izzat Bahauddin, UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team, 15’36:338s

2. Md Akid Aziz, CARDINALS FACTORY RACING TEAM ARRC, 15’36:338s

3. John Emerson Inguito, 4S1M EVO YAMAHA Racing Team, 15’36:675s

4. Arai Agaska Dibani Laksana, LFN H. PUTRA 969 INDONESIA Racing Team, 15’37:046s

5. Wahyu Aji Trilaksana, RACETECH SIXTY Racing, 15’37:061s

TVS Asia One Make Championship

1. Hiroki Ono, Japan, 14’07:383s

2. Taiyo Saito, Japan, 14’14:735s

3. Ramdan Rosli, Malaysia, 14’14:991s

4. Vorapong Malahuan, Thailand, 14’15:079s

5. Decky Tiarno Aldy, Indonesia, 14’15:311s