ARRC 2023: Izzat Zaidi Idam Podium Di Mandalika

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/8/20231 min read

CABARAN getir yang bakal dihadapi di Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Mandalika, Indonesia, hujung minggu ini tidak mematahkan semangat pelumba negara, Izzat Zaidi Salehan untuk memburu kejayaan podium.

Sebagai salah seorang pelumba 'senior' Malaysia di pentas ARRC kelas Underbone 150, Izzat tiba di Mandalika tanpa sebarang kemenangan musim ini dengan keputusan terbaiknya diraih di Buriram, Thailand pada aksi pembukaan.

Dan ia menjadi satu-satunya kejayaan podium yang diraih Izzat pada musim ini selepas tiga pusingan perlumbaan berlangsung di Thailand, Malaysia dan Jepun.

Prestasi itu jelas 'jauh' daripada pencapaian yang diraih pelumba pasukan Cardinals Factory Racing Team itu pada musim lalu yang menyaksikannya bergelar naib juara keseluruhan kelas 'kapcai' itu.

"Cabaran terbesar saya adalah untuk mengadaptasi kepada perubahan," kata Izzat yang beraksi bersama pasukan Pitsbike JRT OneWay dengan menggunakan jentera sama iaitu Yamaha, musim lalu.

"Seperti semua tahu, saya menyertai pasukan baru pada musim ini dan ia mengambil masa untuk saya menyesuaikan diri," katanya.

Mengulas saingan yang bakal dihadapi di Mandalika, Izzat mengakui ia pasti tidak mudah kerana ia adalah litar yang baharu untuknya.

"Ia pasti tidak mudah kerana kami tidak pernah berlumba di litar ini sebelum ini. Sekali lagi, ia adalah mengenai adaptasi dengan keadaan litar dan mencari jalan untuk mengoptima kamampuan jentera saya.

"Selain itu, saya juga perlu memperbaiki teknik tunggangan saya untuk memastikan ia berjalan dengan baik di litar ini. Kebiasaan, saya akan menganalisa data daripada perlumbaan sebelum ini untuk melihat apa yang kurang. Dari situ, saya akan berusaha untuk memperbaiki kekurangan saya.

"Jadi, saya berharap yang sesi latihan akan membantu saya untuk menilai apa yang perlu dilakukan dengan pantas supaya saya dapat melakukan yang terbaik ketika perlumbaan.

"Sasaran saya adalah untuk berada di kedudukan lima terbaik. Ia akan menjadi bonus jika saya meraih kedudukan podium," kata Izzat yang turut memiliki bengkel motosikal sendiri di tanah air.