ARRC 2023: Kekal Momentum, Pendahulu SS600 Jadi Keutamaan KIP Di Zhuhai

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/1/20231 min read

TAK kisah dengan status sebagai pendahulu kelas SS600 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2023, pelumba negara Khairul Idham Pawi meletakkan fokusnya untuk kembali meraih prestasi terbaiknya menjelang aksi Pusingan 5 di Zhuhai, China, minggu ini.

Pelumba pasukan Boon Siew Honda Racing itu ketika ini memimpin carta kejuaraan kelas pertengahan ARRC itu selepas mengumpul 146 mata daripada 4 pusingan.

Beraksi menggunakan jentera Honda CBR600RR, pelumba yang terkenal dengan julukan KIP itu meraih sekurang-kurangnya satu kemenangan dalam tiga pusingan awal namun sedikit kurang menjadi pada Pusingan 4 di Mandalika.

Selepas bergelar naib juara pada Perlumbaan 1, KIP sekadar menamatkan Perlumbaan 2 di kedudukan ke-9 yang sedikit merencatkan harapannya untuk merangkul gelaran keseluruhan kelas berkenaan.

"Tahun ini agak positif bagi saya kerana saya dapat lihat diri saya bertambah baik dengan banyak daripada musim lepas," kata KIP yang pernah berlumba di Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto3 dan Moto2.

"Saya menggunakan apa yang saya dapat pada musim lepas dan tiada keraguan, ia bukan tugas yang mudah tetapi saya mengharunginya dengan sasaran belajar daripada kesilapan.

"Matlamatnya adalah untuk memastikan saya menggunakan apa yang saya belajar dalam perlumbaan dan ia berjalan dengan baik untuk saya. Ketika ini, sejujurnya, saya tidak begitu yakin dan saya perlu kembali bangkit kepada momentum itu."

Mengulas mengenai harapannya di Zhuhai, KIP berkata sasarannya adalah untuk mengekalkan kedudukannya di puncak carta sekalipun mengakui ia bukan tugas yang mudah.

"Ini adalah pengalaman pertama saya di litar ini. Saya belajar daripada rakaman perlumbaan yang berlangsung di sini. Saya fikir saya akan menikmatinya sekalipun pasti agak sukar untuk mengadaptasi tanpa sebarang pengalaman.

"Tetapi pada akhirnya, ia adalah mengenai kemenangan. Jadi saya akan bekerja keras untuk mendapatkannya."

Mengikuti KIP di kedudukan kedua adalah pelumba Thailand, Nakarin Atiratphuvapat dari pasuikan Honda Racing Thailand yang mengumpul 120 mata.

Tempat ketiga diisi pelumba Jepun, Soichiro Minamimoto dari pasukan Yamaha Gen Blu Racing Asia yang turut mengumpul 120 mata.