ARRC 2023: KIP Enggan Terlalu Tertekan Buru Gelaran SS600, Fokus Beri 100 Peratus

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/30/20232 min read

KHAIRUL Idham Pawi tiba di Thailand bagi pusingan penutup tirai Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2023 sebagai pendahulu kelas SS600 tetapi tidak seperti di China, tiada kesilapan boleh dilakukan pelumba negara itu di Buriram, Thailand.

Tiba di Pusingan 5 di Zhuhai China dengan kelebihan agak selesa, pelumba pasukan Boon Siew Honda dengan gelaran Super KIP itu kini hanya dibezakan tujuh mata dengan 50 mata ditawarkan pada aksi di Buriram.

Dan lebih 'menakutkan', pencabar utamanya adalah pelumba tuan rumah, Nakarin Atiratphuvapat yang sememangnya memiliki kelebihan.

Selain Nakarin atau lebih dikenali Chip, masih ada beberapa pelumba yang turut berpeluang merangkul gelaran keseluruhan iaitu Soichiro Minamimoto dari Jepun yang berkongsi mata dengan Chip (156 mata), pelumba negara, Helmi Azman (149 mata) dan seorang lagi pelumba Jepun, Keito Abe (125 mata).

Mengulas perancangan, KIP mengakui yang perlumbaan Thailand pasti menjadi perlumbaan yang amat sukar berikutan perbezaan mata kejuaraan yang amat rapat namun kekal tenang adalah taktik yang terbaik.

"Sasaran utama adalah untuk menjulang gelaran juara keseluruhan. Ia juga adalah sasaran pasukan," kata KIP yang juga bekas pelumba Moto3 dan Moto2 di Kejuaraan Motosikal Dunia.

"Tetapi saya tidak mahu terlalu memberi tekanan kepada saya sebaliknya hanya fokus memberikan yang terbaik dan memberikan 100 peratus ketika perlumbaan."

"Saya juga percaya tahap gemuruh pelumba-pelumba yang sedang memburu kejuaraan adalah sama. Jadi, kami semua sudah tentu akan memberikan yang terbaik.

"Saya sudah belajar daripada kesilapan saya terutama di Zhuhai jadi ia sesuatu yang baik dan saya tahu saya tidak akan mengulanginya pada pusingan selepas ini," kata KIP yang melabel Chip sebagai pencabar paling berbahaya kerana ia adalah perlumbaan di laman sendiri buat pelumba itu.

Pada aksi Pusingan 1 juga di Buriram sebelum ini, KIP berjaya meraih satu kemenangan dan satu kedudukan naib juara dan menariknya, Chip turut melakar kejayaan yang sama.

Bakal beraksi di Kejuaraan Superbike Dunia dalam kelas WorldSSP musim depan, KIP berkata dia berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan setakat ini yang dikatakan jauh lebih baik berbanding musim lalu.

"Sekalipun saya tidak menamatkan perlumbaan atau tidak menaiki podium, tetapi saya banyak meningkat musim ini berbanding musim lalu. Ia memerlukan masa dan saya yakin saya boleh melakukan lebih lagi," katanya

Kedudukan Kelas SS600 2023 Menujur Perlumbaan Di Thailand

1. Khairul Idham Pawi (MAS) Boon Siew Honda Racing, Honda, 163 mata

2. Nakarin Atiratphuvapat (THA) Honda Racing Thailand, Honda, 156 mata

3. Soichiro Minamimoto (JPN) Yamaha Gen Blu Racing Asean, Yamaha, 156 mata

4. Helmi Azman (MAS) Boon Siew Honda Racing, Honda, 149 mata

5. Keito Abe (JPN) One XOX TKKR Racing, Yamaha, 125 mata

6. Azroy Hakeem Anuar (MAS) Boon Siew Honda Racing, Honda, 88 mata

7. Adenanta Putra (INA) Astra Honda Racing, Honda, 79 mata

8. Pannasorn Kaewsonthi (THA) Honda Racing Thailand, Honda, 66 mata

9. Ratthapong Wilairot (THA) Yamaha Thailand Racing, Yamaha, 60 mata

10. Galang Hendra Pratama (INA) Yamaha Racing Indonesia, Yamaha, 55 mata

* Kedudukan 10 terbaik