ARRC 2023: Nazirul Izzat Ambil Pendekatan Berhati-Hati Di Buriram

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/28/20231 min read

TIBA di pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2023 di Buriram, Thailand sebagai pendahulu kelas UB150, pelumba negara Nazirul Izzat Bahauddin mengakui akan mengambil pendekatan 'selamat'.

Mengumpul 156 mata di carta kejuaraan dengan pencabar terdekatnya, Shafiq Rasol juga dari Malaysia (112 mata), pelumba pasukan UMA Racing YAMAHA Maju Motor Asia tampak memiliki kelebihan yang selesa.

Begitupun, ia belum cukup untuknya bersenang lenang kerana ada 50 mata ditawarkan di Buriram (2 perlumbaan) dan secara matematik, Shafiq dari pasukan ONEXOX TKKR Racing boleh memintasnya.

Mengulas perancangannya di Litar Chang, Nazirul berkata dia akan cuba untuk bersaing di kelompok depan namun perlu lebih berhati-hati.

"Sasaran saya adalah untuk mendapatkan mata secukupnya pada kedua-dua perlumbaan dan berharap saya mampu menjadi juara kali ini," kata Nazirul.

"Saya benar-benar menggemari Litar Chang tetapi saya tidak bertuah di sini untuk menaiki podium.

"Apa yang saya capai adalah catatan masa terpantas. Jadi saya berharap kali ini, saya mampu berdiri di podium," katanya.

Pada perlumbaan Pusingan 1 ARRC 2023 yang turut berlangsung di litar sama, Nazirul sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima (Perlumbaan 1) dan ke-12 (Perlumbaan 2).

Daripada 10 perlumbaan yang sudah berlangsung, Nazirul berjaya memenangi tiga perlumbaan dengan keseluruhan lima kedudukan podium yang membuktikan kemampuan jentera Yamaha yang ditunggangnya.

"Jentera berada dalam keadaan cemerlang sepanjang musim. Saya mengharungi pusingan yang agak konsistem sejak Pusingan 1 hingga kini.

"Dan sebagai persiapan untuk pusingan kali ini, saya sudah menjalani latihan fizikal selain latihan perlumbaan di Litar Sepang dan litar Go-Kart Sepang," katanya.