ARRC 2023: Nazirul Sah Gelaran UB150 Tanpa Raih Mata, KIP Terlepas Posisi Pendahulu!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/2/20233 min read

MELINTASI garisan penamat tanpa memungut sebarang mata tak menghalang pelumba negara, Nazirul Izzat Bahauddin untuk dinobatkan juara keseluruhan UB150 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2023 di Thailand, hari ini.

Mengakui lebih mementingkan kejuaraan berbanding posisi di perlumbaan, pelumba pasukan UMA Racing YAMAHA Maju Motor Asia itu dipalit masalah apabila jenteranya berdepan isu mekanikal di pusingan terakhir Perlumbaan 1 di Buriram.

Tetapi sekalipun melepasi garisan penamat di kedudukan ke-16 tanpa mengutip sebarang mata, keputusan yang diraih pencabar terdekatnya, Shafiq Rasol juga dari Malaysia menghadiahkannya kejayaan itu.

Shafiq dari pasukan OneXOX TKKR Racing perlu mengisi posisi dua teratas untuk menghalang Nazirul namun pelumba itu sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan terakhir di podium.

Perlumbaan dimenangi pelumba Indonesia, Murobbil Vittoni dan rakan sepasukan Shafiq, Md Hafiza Rofa muncul sebagai naib juara.

"Syukur Alhamdulillah atas rezeki yang diberikan. Ini juga hadiah untuk arwah ayah saya yang banyak menyokong saya," kata Nazirul dari Negeri Sembilan.

"Saya juga mahu berterima kasih kepada ibu dan keluarga saya yang sentiasa berada di belakang saya. Terima kasih juga kepada pasukan atas kerja hebat mereka lakukan sepanjang musim.

"Pada perlumbaan tadi, jentera saya berdepan masalah pada pusingan terakhir tetapi syukur, saya berjaya mengendalikan situasi itu dan menjadi juara hari ini."

Sementera itu, perlumbaan kelas elit ASB1000 menjadi milik pelumba Indonesia Andi Farid Izdihar dari Honda Asia-Dream Racing with SHOWA yang juga kemenangan pertamanya musim ini.

Lebih menarik, pelumba 'rookie' ASB1000 itu berjaya mengejutkan juara musim 2023, Markus Reiterberger dari OneXOX BMW TKKR di saat akhir untuk berpuas hati selaku naib juara.

Melengkapkan podium adalah pelumba Malaysia, Zaqhwan Zaidi yang juga rakan sepasukan Andi.

Sementara, kelebihan yang dimiliki pelumba negara, Khairul Idham Pawi dalam kelas SS600 'hilang' susulan kemenangan pelumba Jepun, Soichiro Minamimoto di Buriram.

Tiba sebagai pendahulu kejuaraan, kedudukan tempat ketiga diraih Khairul Idham menyaksikannya pelumba pasukan Boon Siew Honda Racing itu jatuh ke tangga kedua keseluruhan dengan rakan sepasukan Minamimoto, Apiwath Wongthananon di kedudukan kedua.

Keputusan menyaksikan Minamimoto kini memiliki kelebihan dua mata di atas Khairul Idham dengan masing-masing memiliki 181 mata dan 179 mata manakala Nakarin Atiratphuvapat di tangga ketiga dengan 169 mata.

Sementara itu, pelumba Indonesia Veda Ega Pratama (ASTRA HONDA RACING TEAM) menjuarai kelas AP250 dengan mengetepikan cabaran dua pelumba tuan rumah, Jakkreephat Puettisan dan Muklada Sarapuech.

Dalam kelas 'Kapcai' UB150, lagi lagu kebangsaan Indonesia dinyayikan di litar menerusi kemenangan Murobbil Vittoni dengan dua pelumba Malaysia, Md Hafiza Rofa dan Md Shafiq Rasol lengkap kedudukan podium.

Dan dalam kelas TVS Asia One Make, pelumba Jepun, Hiroki Ono terus menampilkan 'taringnya' apabila memenangi perlumbaan kelima berturut-turut kelas berkenaan.

Pendahulu kejuaraan, Md Muzakkir dari Malaysia menamatkan aksi selaku naib juara diikuti pelumba tuan rumah, Vorapong Malahuan.

Podium Perlumbaan 1 Pusingan 6 ARRC 2023 Buriram, Thailand

ASB1000

1. Andi Farid Izdihar (INA) Honda Asia-Dream Racing with SHOWA, Honda, 20’53:239s

2. Markus Reiterberger (GER) ONEXOX BMW TKKR Team, BMW, 20’53:151s

3. Md Zaqhwan Zaidi (MAS) Honda Asia-Dream Racing with SHOWA, Honda, 20’54:070s

SS600

1. Soichiro Minamimoto (JPN) Yamaha GEN BLU Racing Team ASEAN, Yamaha, 19’55.372s

2. Apiwath Wongthananon (THA) Yamaha GEN BLU Racing Team ASEAN, Yamaha, 19’55.522s

3. Khairul Idham Pawi (MAS) Boon Siew Honda Racing Team, Honda, 19’58.301s

AP250

1. Veda Ega Pratama (INA) ASTRA HONDA RACING TEAM, 18’41.898s

2. Jakkreephat Puettisan (THA) Honda Racing Thailand, 18’47.937s

3. Muklada Sarapuech (THA) Honda Racing Thailand, 18’47.940s

UB150

1. M. Murobbil Vittoni (INA) LFN H. PUTRA 969 INDONESIA Racing Team, Yamaha, 16’30.237s

2. Md Hafiza Rofa (MAS) One XOX TKKR Racing Team, Yamaha, 16’30.360s

3. Md Shafiq Rasol (MAS) OneXOX TKKR Racing Team, Yamaha, 16’30.573s

TVS Asia One Make

1. Hiroki Ono, Japan, 14’46:399s

2. Md Muzakkir Mohamed, Malaysia, 14’46:433s

3. Vorapong Malahuan, Thailand, 14’46:660s