ARRC 2023: Pelumba Malaysia Takluk Kelas SS600, UB150 Di Zhuhai

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/4/20232 min read

DUA kelas perlumbaan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2023 - SuperSport 600 (SS600) dan Underbone 150 (UB150) berjaya ditakluk pelumba Malaysia pada Perlumbaan 1 Pusingan 5 di Zhuhai, China, hari ini.

Paling cemerlang pastinya dalam kelas UB150 apabila ketiga-tiga podium kelas berkenaan disapu bersih pelumba negara diketuai Md Akid Aziz dari pasukan Cardinals Factory Racing (Yamaha).

Turut mengisi podium adalah pelumba pasukan Pitsbike JRT Tech 2 OneWay Racing, Ahmad Fazrul Sham dan Md Shafiq Rasol dari pasukan ONEXOX TKKR Racing.

Dalam kelas SS600, pelumba negara Azroy Hakeem Anuar membuktikan kemampuannya dengan menjuarai perlumbaan yang terpaksa dimulakan semula susulan kemalangan.

Lebih membanggakan, rakan sepasukan Azroy dari pasukan Boon Siew Honda Racing, Md Helmi Azman menamatkan perlumbaan selaku naib juara.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pasukan atas kerja keras mereka," kata Azroy yang tampak cukup beremosi di podium. "Sudah agak lama saya tidak berada di podium.

"Saya kurang bernasib baik pada musim ini selepas berdepan masalah tayar dan jentera. Jadi, ia perasaannya bercampur baur. Ada sedih dan gembira.

"Kemenangan ini saya dedikasikan kepada arwah ibu saya yang meninggal dunia baru-baru ini," kata Azroy yang menjelaskan dia akan terus memburu kemenangan pada baki perlumbaan selepas ini.

Melengkapi podium kelas SS600 adalah pelumba Jepun, Soichiro Minamimoto, (Yamaha GEN BLU Racing Team ASEAN).

Sementara itu, Akid berkata dia amat gembira dengan kemenangan yang diraih di Zhuhai.

"Saya amat gembira dengan kemenangan hari ini. Terima kasih kepada pasukan, keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa menyokong saya.

"Masih ada satu lagi perlumbaan esok dan saya berharap saya akan mendapat peluang yang sama sekali lagi," kata Akid yang turut memohon agar peminat Malaysia mendoakan kesihatan pelumba negara, Izzat Zaidi yang mengalami kecederaan ketika perlumbaan Cub Prix di Johor sebelum ini.

Dalam pada itu, saingan kelas elit ASB1000 turut menampilkan dua pelumba negara di podium dalam perlumbaan yang dimenangi pelumba Jerman, Markus Reiterberger dari pasukan ONEXOX BMW TKKR.

Tempat kedua dimenangi pelumba negara, Md Zaqhwan Zaidi (Honda Asia-Dream Racing with SHOWA) yang juga penyandang juara dan rakan sepasukan Reiterberger, Azlan Shah Kamaruzaman.

Sementara itu, perlumbaan 'One Make' TVS Asia Championship turut menampilkan pelumba negara di podium iaitu Md Muzakkir Mohamed yang menamatkan perlumbaan selaku naib juara.

Tiada pelumba negara mengisi kedudukan tiga teratas kelas AP250 dengan perlumbaan dimenangi pelumba Thailand, Muklada Sarapuech (Honda Racing Thailand).

Podium Perlumbaan 1 Pusingan 5 ARRC 2023 Zhuhai, China

ASB1000

1. Markus Reiterberger, ONEXOX BMW TKKR Team

2. Md Zaqhwan Zaidi, Honda Asia-Dream Racing with SHOWA

3. Azlan Shah Kamaruzaman, ONEXOX BMW TKKR Team

SS600

1. Azroy Hakeem Anuar, Boon Siew Honda Racing Team

2. Md Helmi Azman, Boon Siew Honda Racing Team

3. Soichiro Minamimoto, YAMAHA GEN BLU Racing Team ASEAN

AP250

1. Muklada Sarapuech, Honda Racing Thailand

2. Rheza Danica Ahrens, ASTRA HONDA RACING TEAM

3. Jakkreephat Puettisan, Honda Racing Thailand

UB150

1. Md Akid Aziz, CARDINALS FACTORY RACING TEAM ARRC

2. Ahmad Fazrul Sham, Pitsbike JRT Tech 2 OneWay Racing Team

3. Md Shafiq Rasol, ONEXOX TKKR Racing Team

TVS Asia One Make Championship

1. Hiroki Ono, Jepun

2. Md Muzakkir Mohamed, Malaysia

3. Taiyo Saito, Jepun