ARRC 2023: Shafiq Rasol Menang Perlumbaan 2 UB150, KIP Terlepas Gelaran SS600!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/3/20232 min read

HARAPAN pelumba negara, Khairul Idham Pawi untuk menjulang gelaran Asia kelas SS600 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2023 tidak kesampaian selepas berdepan kemalangan pada perlumbaan penutup tirai di Buriram, Thailand, hari ini.

Pada aksi Perlumbaan 2 dan terakhir itu, pelumba pasukan Boon Siew Honda Racing yang memulakan perlumbaan di petak ketiga tampak menggunakan pendekatan selamat untuk tidak bergasak di kelompok depan.

Begitupun, peluangnya untuk mencabar pendahulu kejuaraan - kedudukan yang dirampas daripadanya semalam oleh pelumba Jepun, Soichiro Minamimoto tertutup selepas dia terjatuh selepas berlaku pelanggaran dengan pelumba tuan rumah, Nakarin Atiratphuvapat.

Dan sekalipun pelumba dengan gelaran KIP itu kembali menyertai perlumbaan, kedudukan ke-10 yang diraihnya sekadar mengesahkan kedudukannya sebagai naib juara keseluruhan SS600 dengan kejuaraan dimenangi Minamimoto dari Yamaha.

Perlumbaan begitupun dimenangi pelumba berpengalaman Thailand, Apiwath Wongthananon yang kelibatnya sebagai pelumba 'Wildcard' di Thailand tampak khusus untuk membantu Minamimoto dan menghalang KIP daripada bergelar juara keseluruhan.

Melengkapkan kedudukan podium adalah pelumba Malaysia dan rakan sepasukan KIP, Azroy Hakeem Anuar.

Sementara itu, perlumbaan terakhir kelas ASB1000 dimenangi pelumba Jerman, Markus Reiterberger dari pasukan ONEXOX BWM TKKR.

Bersaing sengit dengan pelumba negara, Md Zaqhwan Zaidi (Honda Asia-Dream) untuk beberapa pusingan, juara keseluruhan kelas elit itu akhirnya berjaya 'meloloskan' diri.

Zaqhwan turut terlepas kedudukan selaku naib juara selepas turut dipintas rakan sepasukannya, Andi Farid Izdihar namun melengkapkan kedudukan podium selain kedudukan kedua keseluruhan ASB1000.

"Selepas mengetahui tayar saya semakin habis, saya terpaksa membiarkan Markus untuk memintas dan merancang untuk melakukan 'serangan' pada pusingan terakhir tetapi tidak berjaya," kata Zaqhwan. "Apapun, saya berterima kasih kepada pasukan kerana berusaha keras menyiapkan jentera yang baik untuk saya."

Menceriakan kem Malaysia pada Perlumbaan 2 adalah kemenangan yang diraih pelumba negara, Md Shafiq Rasol dalam kelas UB150 yang menyaksikan Lagu Negaraku berkumandang di Buriram.

Mengulas kemenangannya, Shafiq berkata dia mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada pasukan dan keluarganya atas sokongan yang mereka berikan.

Mengulas perlumbaannya, Shafiq berkata: "Pada awalnya, saya cuba untuk kekal di kelompok depan tetapi di pertengahan perlumbaan, saya pada satu ketika tercicir.

"Tetapi saya berjaya untuk kembali ke kelompok itu pada pusingan terakhir dan menggunakan segala peluang untuk berada di depan dan ia nampaknya berjaya," katanya.

Menamatkan perlumbaan selaku naib juara adalah seorang lagi pelumba Malaysia, Md Akid Aziz(CARDINALS FACTORY RACING TEAM ASIA) dan pelumba Indonesia, Wawan Wello (PitsBike JRT Tech 2 OneWay Racing) lengkap kedudukan podium.

Selain menjuarai gelaran keseluruhan kelas UB150, pelumba Malaysia turut menjulang gelaran keseluruhan TVS Asia One Make menerusi Md Muzakkir Mohamed.

Begitupun, impian Muzakkir untuk menghalang deretan kemenangan pelumba Jepun, Hiroki Ono tidak kesampaian untuk menamatkan perlumbaan selaku naib juara.

Podium Perlumbaan 2 ARRC 2023 Thailand

ASB1000

1. MARKUS REITERBERGER (GER) ONEXOX BMW TKKR Team, BMW, 16’02.482

2. ANDI FARID IZDIHAR (INA) Honda Asia-Dream Racing with SHOWA, Honda, 16’03.618

3. MD ZAQHWAN ZAIDI (MAS) Honda Asia-Dream Racing with SHOWA, Honda, 16’03.721

SS600

1. APIWATH WONGTHANANON (THA) YAMAHA GEN BLU Racing Team ASEAN, Yamaha, 19’57.324

2. SOICHIRO MINAMIMOTO (JPN) YAMAHA GEN BLU Racing Team ASEAN Yamaha, 19’57.553

3. AZROY HAKEEM ANUAR (MAS) Boon Siew Honda Racing Team, Honda, 20’00.216

AP250

1. JAKKREEPHAT PUETTISAN (THA) Honda Racing Thailand, Honda, 18’54.829s

2. HERJUN ATNA FIRDAUS (INA) ASTRA HONDA RACING TEAM, Honda, 18’55.088s

3. MUKLADA SARAPUECH (THA) Honda Racing Thailand, Honda, 18’55.338s

UB150

1. MD SHAFIQ RASOL (MAS) ONEXOX TKKR Racing Team, Yamaha, 16’32.489s

2. MD AKID AZIZ (MAS) CARDINALS FACTORY RACING TEAM ARRC, Yamaha, 16’32.678s

3. WAWAN WELLO (INA) PitsBike JRT Tech 2 OneWay Racing Team, Yamaha, 16’32.719s

TVS Asia One Make Championship

1. HIROKI ONO (JPN) TVS APACHE RR310, 14’55.386s

2. MD MUZAKKIR MOHAMED (MAS) TVS APACHE RR310, 14’55.457s

3. VORAPONG MALAHUAN (THA) TVS APACHE RR310, 14’56.697s