ARRC 2023: Shafiq Rasol Pastikan Lagu Negaraku Dinyanyikan di Zhuhai

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/5/20232 min read

TAK seperti semalam, Perlumbaan 2 Pusingan 5 Kejuaraan Motosikal Asia (AARC) 2023 di Zhuhai, China hari ini menyaksikan hanya satu nyanyian Lagu Negaraku dimainkan di atas podium kemenangan, hari ini.

Kejayaan itu diperoleh hasil kemenangan yang diraih pelumba negara, Md Shafiq Rasol dari pasukan ONEXOX TKKR Racing dalam kelas Underbone 150 (UB150).

Tipikal perlumbaan UB150, persaingan berlangsung cukup sengit hingga penghujung perlumbaan dengan Shafiq yang menunggang Yamaha Y15ZR cemerlang meletakkan dirinya melepasi garisan penamat sebagai juara.

Sedikit malang buat juara Perlumbaan 1, semalam iaitu Md Akid Aziz apabila berdepan masalah jentera ketika sedang selesa memimpin perlumbaan.

"Ini perlumbaan yang menakjubkan untuk saya," kata Shafiq yang mengucapkan ribuan terima kasih kepada krew dan pasukannya atau kerja keras yang dilakukan pada minggu ini.

"Malah, ia juga minggu yang cemerlang. Saya memperoleh tempat ketiga semalam dan berjaya menang hari ini adalah pencapaian hebat bagi saya," kata Shafiq yang berkata rancangannya untuk kekal bersama kelompok depan sepanjang perlumbaan membuahkan hasil.

Dalam kelas elit ABS1000, pelumba ONEXOX TKKR Racing, Markus Reiterberger menyapu bersih dua perlumbaan yang ditawarkan di Zhuhai sekaligus dinobatkan sebagai juara keseluruhan kelas itu musim ini.

Dan sekali lagi, dua pelumba negara turut mengisi dua baki kedudukan di podium menerusi Md Zaqhwan Zaidi (Honda Asia-Dream Racing with SHOWA) dan rakan sepasukan Reiterberger, Azlan Shah Kamaruzaman.

Mengakui Zaqhwan berjaya memberikannya saingan sengit, Reiterberger berkata dia benar-benar cuba untuk menunggang selaju yang boleh ketika perlumbaan bagi menjarakkan kedudukan.

"Saya mahu berterima kasih kepada pasukan saya. Jentera berfungsi dengan cukup baik," katanya.

Sementara itu, Zaqhwan mengakui perasaannya sedikit bercampur baur dan mengakui jentera BMW M1000RR yang digunakan Reiterberger cukup berkuasa sekalipun dia sudah melakukan yang terbaik bersama jentera Honda CBR1000RR-R miliknya.

"Saya gembira dengan prestasi jentera hari ini tetapi saya fikir yang jentera BMW cukup kuat di litar ini. Saya juga sedikit kecewa kerana prestasi sedikit mengendur pada pertengahan aksi.

"Apapun, tempat kedua boleh dikatakan baik dan saya berharap untuk bangkit dan meraih kemenangan di pusingan terakhir nanti," kata bekas pelumba Moto2 negara itu.

Sementara itu, Azlan Shah menjelaskan jentera yang ditunggangnya tidak cukup kuat untuk mengejar dua pelumba di depannya dan kedudukan terakhir di podium masih menggembirakannya.

"Tahniah juga kepada rakan sepasukan saya (Reiterberger) atas kejayaan memenangi gelaran keseluruhan."

Dalam kelas SS600, kejayaan cemerlang semalam tak berjaya diulangi barisan pelumba negara yang menyaksikan kemenangan diraih pelumba Thailand, Nakarin Atiratphuvapat.

Kedudukan terbaik diraih pelumba negara dihadiahkan Md Helmi Azman (Boon Siew Honda Racing Team) yang merangkul tempat ketiga dengan pelumba Jepun, Soichiro Minamimoto (Yamaha GEN BLU Racing Team ASEAN) muncul naib juara.

Tiada kejayaan podium dilakar pelumba negara dalam kelas AP250 dengan kemenangan Perlumbaan 2 menjadi milik pelumba Indonesia, Veda Ega Pratama.

Begitupun, prestasi pelumba negara dalam perlumbaan kelas 'One Make', TVS Asia Championship boleh dianggap baik yang menyaksikan Md Muzakkir Mohamed muncul naib juara dan Md Ramdan Rosli ketiga.

Podium Perlumbaan 2 Pusingan 5 ARRC 2023 Zhuhai, China

ASB1000

1. Markus Reiterberger, ONEXOX BMW TKKR Racing

2. Md Zaqhwan Zaidi, Honda Asia-Dream Racing with SHOWA

3. Azlan Shah Kamaruzaman, ONEXOX BMW TKKR Team

SS600

1. Nakarin Atiratphuvapat, Honda Racing Thailand

2. Soichiro Minamimoto, YAMAHA GEN BLU Racing Team ASEAN

3. Md Helmi Azman, Boon Siew Honda Racing Team

AP250

1. Veda Ega Pratama, ASTRA HONDA RACING TEAM

2. Jakkreephat Puettisan, Honda Racing Thailand

3. Herjun Atna Firdaus, ASTRA HONDA RACING TEAM

UB150

1. Md Shafiq Rasol, ONEXOX TKKR Racing Team

2. M. Murrobil Vittoni, LFN H. PUTRA 969 INDONESIA Racing Team

3. Wawan Wello, Pitsbike JRT Tech 2 OneWay Racing Team

TVS Asia One Make Championship

1. Hiroki Ono, Japan

2. Md Muzakkir Mohamed, Malaysia

3. Md Ramdan Rosli, Malaysia