ARRC 2023: TIADA Lagu Negaraku Dinyanyikan Di Perlumbaan 2 Mandalika, ASB1000 Dibatalkan!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/13/20231 min read

INSIDEN ngeri membabitkan pelumba Jepun, Haruki Noguchi memaksa penganjur membatalkan Perlumbaan 2 kelas ASB1000 Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Mandalika, Indonesia, hari ini.

Menurut kenyataan rasmi daripada badan induk, FIM Asia, kemalangan membabitkan Noguchi dari pasukan SDG MS Harc-Pro. Honda. Ph. itu dibatalkan bagi memberi tumpuan kepada situasi perubatan pelumba yang terbabit.

Kenyataan FIM Asia berkata Noguchi dirawal di pusat perubatan litar dan berada dalam keadaan stabil. Dia kemudian dibawa ke hospital tempatan untuk rawatan lanjutan.

Sementara itu, tiada nyanyian Lagu Negaraku berkumandang di Mandalika, hari ini selepas tiada seorang pun wakil negara berjaya mencatat nama sebagai pemenang perlumbaan.

Dalam kelas pertengahan SS600, kemenangan menjadi milik pelumba Jepun, Soichiro Minamimoto dari pasukan Yamaha Gen Blu Racing Team Asean.

Tempat kedua menjadi milik pelumba Thailand, Nakarin Atiratphuvapat (Honda Racing Thailand) manakala tempat ketiga menjadi milik pelumba tuan rumah, Mohammad Adenanta Putra (Astra Honda Racing Team).

Kelas AP250 sekali lagi ditakluk pelumba Indonesia dengan Herjun Atna Firdaus (Astra Honda Racing Team) muncul sebagai pemenang diikuti rakan sepasukannya, Rheza Danica Ahrens, kedua dan pelumba Kawasaki, Irfan Ardiansyah (Motul Sniper Manual Tech Racing) di tangga ketiga.

Kemenangan dalam kelas UB150 atau kapcai turut dimenangi pelumba tuan rumah, Arai Agaska Dibani Laksana (LFN H. PUTRA 969 INDONESIA Racing Team) namun pelumba negara, Nazirul Izzat Bahauddin yang memenangi Perlumbaan 1 turut mendaki podium sebagai naib juara.

Di belakang pelumba pasukan UMA Racing YAMAHA Maju Motor Asia Team itu seorang lagi pelumba Indonesia, Husni Zainul Fuadzi (ZIEAR ARL RACING).

Dalam pada itu, pelumba Jepun, Hiroki Ono mengekalkan penguasaanya dalam perlumbaan TVS Asia One Make Championship. Pelumba Thailand, Vorapong di tangga kedua dan pelumba negara, Ramdan Rosli sekali lagi menamatkan aksi di tangga ketiga.