ARRC 2024: Afif Akui Jentera Belum Di Prestasi Optimum
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/15/20241 min read
TIBA di Zhuhai, China bagi aksi Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 sebagai juara keseluruhan beberapa edisi kelas elit Cub Prix Malaysia tidak membuatkan pelumba negara, Ahmad Afif Amran merasakan dirinya memiliki kelebihan dalam aksi UB150 di kejuaraan berkenaan.
Sebaliknya, pelumba pasukan Pitsbike OneWay JRT Tech2 Racing itu menjelaskan persaingan yang dihadapi dalam kelas 'kapcai' itu lebih sukar kerana ia membabitkan pelumba-pelumba terbaik dari Asia.
Dan menambah darjah kesukarannya, pelumba kelahiran Terengganu itu mengakui jenteranya Yamaha Y15ZR belum berada di tahap terbaik sekalipun berjaya memenangi Perlumbaan 2 di Buriram, Thailand pada Pusingan 1.
"Jika kamu bertanya kepada saya mengenai jentera, ia masih belum berada dalam kondisi yang optimum kerana saya masih cuba untuk mencari pelarasan yang sempurna," kata Afif.
"Pasukan saya adalah pasukan yang baru dan ada banyak kerja apabila ia membabitkan jentera. Litar Zhuhai adalah jenis teknikal jadi untuk mendapatkan pelarasan yang sempurna adalah sesuatu yang amat penting.
"Perlu ada strategi yang dirancang dengan sempurna untuk pusingan terakhir. Dengan izin tuhan, pasukan dan saya akan cuba untuk mendapatkan pelarasan yang terbaik dan mengatasi apa saja yang mengehadkan jentera kami."
Mengulas lanjut, Afif yang tidak beraksi sepenuh musim dalam kelas UB150 musim lalu menjelaskan persaingan yang kuat bakal diberikan pelumba daripada Indonesia terutama bagi kempen musim ini.
"Saya perlu katakan yang saya agak gembira untuk beraksi dalam kelas UB150 musim ini. Saya juga sedar dengan cabaran terutama daripada pelumba-pelumba Indonesia yang berkemungkinan memperoleh lebih banyak perlumbaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"Untuk itu, saya perlu lebih bersedia. Sasaran saya adalah untuk menamatkan perlumbaan dalam keadaan yang baik dan mengutip sebanyak mungkin mata yang boleh. Sasaran saya adalah untuk berada di kedudukan tiga terbaik."