ARRC 2024: Akid Pastikan Lagu Negaraku Dinyanyikan Di Motegi, Hafizh, Azroy Naik Podium!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/9/20242 min read

PELUMBA negara, Md Akid Aziz memastikan lagu kebangsaan, Negaraku dinyanyikan di Motegi, Jepun apabila menjuarai Perlumbaan 2 kelas UB150 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024, hari ini.

Kejayaan yang dilakar Aziz dari pasukan PitsBike OneWay JRT Tech2 Racing dalam kategori kapcai itu adalah kemenangan tunggal diraih barisan pelumba negara di Pusingan 3 kejuaraan elit Asia itu kali ini.

Seperti diketahui, tiada kemenangan berjaya diraih pelumba negara dalam semua kategori yang dipertandingkan pada aksi Perlumbaan 1 yang berlangsung pada Sabtu.

Mengulas kemenangan di Litar Motegi yang juga gelanggang baharu bagi ARRC, Akid menyifatkan ia cukup sukar selepas apa yang perlu dihadapi pasukannya sebelum perlumbaan.

"Untuk perlumbaan kali ini, pasukan kami berdepan beberapa cabaran. Afif (Amran) dan saya bergelut untuk mencari pelarasan yang terbaik, yang akhirnya mengganggu prestasi kami," kata Akid.

"Saya masih dapat rasakan ada ruang untuk penambahbaikkan, jadi penting untuk kami mencari pelarasan yang terbaik sebelum pusingan seterusnya. Kami menyasarkan prestasi yang lebih baik, dan ia memerlukan kami untuk menyelesaikan isu yang kami ada secara efektif."

Sementara itu, pelumba Indonesia Adytya Fauzi dari pasukan Racetech Sixty Racing menamatkan aksi di tempat kedua dan seorang lagu pelumba negara, Nazirul Izzat Md Bahauddin (UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia) ketiga.

Keputusan turut menyaksikan Nazirul Izzat yang juga penyandang juara mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu kejuaraan selesai 3 pusingan.

Sementara itu, pelumba tuan rumah jelas menggunakan pengalaman yang dimiliki di Motegi untuk menguasai dua kelas teratas ASB1000 dan SS600.

Dalam kelas ASB1000, Yuki Kunii dari pasukan SDG Team HARC―PRO Honda Ph. melakar kemenangan sulungnya di ARRC.

Dan pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah dari pasukan JDT Racing Team terus memberikan saingan sengit dan berjaya menamatkan perlumbaan sebagai naib juara diikuti pelumba Thailand, Nakarin Atiratphuvapat (Honda Asia-Dream Racing with Astemo) melengkapkan posisi podium.

Kejayaan yang diraih Hafizh Syahrin turut menyaksikan bekas pelumba MotoGP negara itu kini merampas kedudukan carta pendahulu kelas elit itu.

Dalam kelas SS600, turut berdiri di pentas podium adalah pelumba negara, Azroy Hakeem Anuar (IDEMITSU Boon Siew Honda Racing Team) yang menamatkan aksi di tangga ketiga.

Kemenangan berjaya diraih pelumba 'wildcard', Kengo Nagao (Team KenKen) dan pelumba Thailand, Apiwath Wongthananon (Yamaha Tekhne Racing Asia) di kedudukan kedua.

Agak mengecewakan, tiada wakil negara berdiri di pentas podium kelas AP250 yang menyaksikan pelumba Indonesia, Muhammad Kiandra Ramadhipa (Astra Honda Racing Team) mencipta kemenangan berganda.

Begitupun, tiada dominasi Indonesia di podium apabila pelumba tuan rumah, Ryota Ogiwara (Sanwa Racing Team) menamatkan perlumbaan sebagai naib juara dan Yuta Date (Victor Racing Team) ketiga.

Sementara itu dalam kelas 'One Make' TVS Asia, Mohd Ramdan Rosli sekali lagi menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga di belakang pelumba muda Jepun, Zen Mitani dan pemenang Hiroki Ono.

Pusingan 4 ARRC 2024 dijadual berlangsung di negara jiran, Indonesia di Litar Mandalika pada 26 hingga 28 Julai depan.