ARRC 2024: Azroy Idam Kebangkitan, Helmi Buru Gelaran Berganda Di Sepang!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/11/20241 min read

TIBA di Sepang dengan menghuni tangga ketiga carta kelas SS600 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024, Azroy Hakeem Anuar percaya peluang untuk mencabar kedudukan teratas masih ada dan kelebihan beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan sebaiknya.

Menuju aksi Pusingan 5 di Litar Antarabangsa Sepang Petronas, hujung minggu ini, pelumba pasukan Boon Siew Honda Racing itu mengutip 84 mata namun ketinggalan 60 mata di belakang pendahulu, Apiwath Wongthananon dari Thailand.

Sekalipun berjaya memenangi dua daripada tujuh perlumbaan yang ditawarkan setakat ini, dua keputusan 'DNF' di Thailand jelas merencatkan rancangannya justeru, sesuatu yang istimewa disasarkan pada aksi di gelanggang sendiri.

"Berlumba di gelanggang sendiri memang satu kelebihan, tetapi ia juga bergantung kepada secepat mana kami mengoptimakan pengalaman kami," kata Azroy. "Sasarannya adalah untuk mengutip sebanyak mungkin mata dan cuba mengejar dengan masa yang masih ada.

"Secara peribadi, saya fikir kami amat kompetitif tetapi sekali lagi, pelumba-pelumba lain juga bagus.

"Saya sudah menjalani latihan dengan secukupnya termasuk latihan fizikal jadi saya secara fizikal dan mental sudah bersedia setiap kali saya berada di atas jentera. Sasaran saya adalah kembali ke atas semula."

Sementara itu, rakan sepasukan Azroy, Helmi Azman dengan yakin menyatakan sasarannya di Sepang adalah untuk bergelar juara dan lebih menarik dengan membolot kedua-dua perlumbaan yang ditawarkan.

Ketika ini, Helmi menghuni tangga keempat carta keseluruhan kelas SS600 dengan mengumpul 80 mata dan seperti Azroy, dua aksi yang ditamatkan dengan status 'DNF' sememangnya mengganggu.

"Perlumbaan di laman sendiri memberikan saya kelebihan yang besar," kata Helmi. "Saya mengetahui litar dengan baik dan saya yakin saya boleh menggunakan pengalaman ini untuk memberi manfaat kepada saya.

"Sasaran saya adalah meraih dua kemenangan. Adalah penting untuk memanfaatkan peluang ini.

"Saya mengenali litar ini dengan amat baik, termasuk lokasi penting untuk memintas, selekoh-selekoh yang mencabar."

Mengulas lanjut, Helmi berkata cabaran terbesarnya adalah untuk mengekalkan perasaan yang baik serta keyakinan terhadap jentera.

"Memastikan pelarasan jentera optima adalah kunci kepada prestasi," kata Helmi. "Jika saya boleh menguruskannya, saya percaya ia akan meningkatkan prestasi saya dengan cukup baik."