ARRC 2024: Azroy Pastikan Lagu Negaraku Dinyanyikan Di Mandalika

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/27/20241 min read

PELUMBA negara, Azroy Hakeem Anuar memastikan Lagu Negaraku berkumandang di Mandalika, Indonesia dengan menjuarai Perlumbaan 1 kelas SS600 Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024, hari ini.

Lebih menarik, ia adalah kemenangan 1, 2 buat pasukan Idemitsu Boon Siew Honda Racing selepas seorang lagi pelumba pasukan itu, Helmi Azman turut menamatkan perlumbaan sebagai naib juara.

Sekalipun melepasi garisan penamat sebagai pelumba ketiga, Helmi dinobatkan sebagai naib juara berikutan penalti 3 saat yang dikenakan kepada pelumba Indonesia, Md Adenanta Putra.

Keputusan itu turut menyaksikan pelumba pasukan Astra Homda Racing itu terlepas kedudukan podium selepas Veda Ega Pratama dinaikkan pangkat sebagai pemenang tempat ketiga.

"Syukur Alhamdulillah, hebat untuk kembali sebagai pemenang selepas sekian lama. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya atas kerja keras mereka," kata Azroy.

"Saya berdepan dengan beberapa masalah terhadap jentera saya semalam dan bergelut sepanjang hari. Hari ini, kami melakukan beberapa perubahan terhadap pelarasan jentera, yang membuatkan saya lebih selesa menunggang.

"Ketika perlumbaan, saya mengerah jentera jentera saya dengan keras sehingga pusingan terakhir. Saya sedar yang Adenanta berada di belakang saya dan kadang kala saya mendengar jenteranya dan kadang kala tidak.

"Ketika itulah saya tahu yang kelajuan saya baik.

"Selepas tempoh yang sukar, saya merasakan inilah hari saya. Dan saya mahu mengatakan hari ini adalah hari Honda, bukan Biru."

Sementara itu, tiada kedudukan podium buat pelumba negara dalam kelas elit ASB1000 yang menyaksikan perlumbaan dimenangi pelumba tuan rumah, Andi Farid Idzihar.

Pelumba terbaik negara adalah Hafizh Syahrin Abdullah dari JDT Racing Team yang menamatkan perlumbaan di tangga ke-7 selepas berdepan dengan masalah tayar.

Dalam kelas AP250, perlumbaan turut dimenangi pelumba Indonesia, Renaldo Ratukore yang beraksi di Mandalika sebagai pelumba 'Wildcard'.

Kelas 'kapcai' turut dimenangi pelumba tuan rumah menerusi kemenangan Fahmi Basam namun gelaran naib juara berjaya dimenangi pelumba Malaysia menerusi Md Akid Aziz.

Dalam kelas 'One Make Race' TVS Asia, pelumba negara, Ramdan Rosli turut menaiki podium sebagai naib juara di belakang pelumba Jepun, Hiroki Ono.