ARRC 2024: Damok Intai Podium Di Zhuhai

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/16/20241 min read

PENAMPILAN sulung Md Sharifuddin Azman di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dalam kelas AP250 di Thailand, bulan lalu boleh disifatkan cukup baik dan prestasi itu mahu diteruskan pelumba dengan julukan Damok itu di Zhuhai, China, hujung minggu ini.

Di Buriram Thailand, bekas pelumba Moto3 negara itu meraih kedudukan ke-4 pada Perlumbaan 1 sebelum meraih podium pada Perlumbaan 2 dalam perlumbaan yang didominasi pelumba jiran Indonesia.

Beraksi bersama pasukan Idemitsu Boon Siew Honda Racing, Damok yang menunggang Honda CBR250RR mengakui jenteranya tidak berada di tahap optimum di Thailand namun tiba di China dengan lebih bersedia.

"Pasukan dan saya sedar dengan kekurangan kami dan di mana kami tewas. Kami bergelut agak banyak di laluan lurus jadi itu adalah fokus kami ketika ini," kata Damok.

"Banyak yang saya belajar daripada Pusingan 1 dan saya tahu apa yang perlu dilakukan untuk terus meningkat. Itu yang kami usahakan dan ketika ini, apa saya boleh katakan yang kami agak bersedia bagi Pusingan 2.

"Sudah tentu kami akan bertemu lagi dengan lawan yang sukar terutama Herjun (Atna Firdaus) yang memiliki jentera yang laju tetapi sekali lagi, segala-galanya bukan mustahil."

Mengulas lanjut aksi Pusingan 2 di China, Damok yang mengisi kedudukan ke-4 carta pelumba AP250 berkata sasaran yang diletakkan tetap sama iaitu menghuni kedudukan podium dan jika berpeluang, meraih kemenangan.

"Saya pernah berlumba di Zhuhai sebelum ini dan saya agak biasa dengan susun atur litar ini. Sudah tentu, pasti akan ada beberapa cabaran dan penyesuaian perlu dilakukan," katanya.

"Saya menjangkakan perlumbaan akan berlangsung cukup kompetitif seperti pusingan sebelum ini tetapi saya bersedia untuk memberikan yang terbaik dan cuba menamatkan sebagai pemenang.

"Sasaran pada musim ini adalah untuk mendapatkan kemenangan pertama untuk pasukan. Tetapi sasaran pada setiap pusingan adalah menamatkan perlumbaan di kedudukan podium dan mengutip mata yang cukum untuk menjadi pelumba Malaysia pertama menjadi juara dalam kelas AP250."

Untuk musim ini, Malaysia hanya membariskan dua pelumba dalam kelas AP250 iaitu Damok dan rakan sepasukannya, Muhammad Irfan Haikal.